Rejim Israel masih tahan 776 jasad rakyat Palestin yang didokumentasikan

28 Jan 2026, 2:11 PM
Rejim Israel masih tahan 776 jasad rakyat Palestin yang didokumentasikan

RAMALLAH, 28 JAN: Kempen Kebangsaan Palestin bagi Pengambilan Semula Jasad Syuhada dan Merungkai Nasib Individu Hilang mengesahkan yang rejim Israel masih menahan jasad 776 individu yang didokumenkan sebagai “tawanan” di tanah perkuburan dan bilik mayat.

Agensi Berita dan Penerangan Palestin (WAFA) melaporkan yang menurut Kempen itu, angka itu merangkumi 96 individu yang berada dalam tahanan, 77 kanak-kanak berusia bawah 18 tahun, serta 10 wanita.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Selasa, Kempen itu menegaskan pihak berkuasa pendudukan baru-baru ini mengumumkan penemuan mayat terakhir seorang tahanan Israel - sekali gus mengesahkan tiada lagi tawanan Israel, sama ada hidup atau mati, berada di Semenanjung Gaza sedangkan ratusan mayat rakyat Palestin dari Gaza masih terus ditahan.

Menurut kenyataan itu, semua individu berkenaan ditawan semasa genosid yang sedang berterusan, dengan jumlah sebenar serta keadaan penahanan mereka masih tidak diketahui.

Kempen itu menegaskan yang tindakan itu merupakan pelanggaran serius dan sistematik terhadap undang-undang kemanusiaan antarabangsa, khususnya Konvensyen Geneva, yang melindungi maruah tahanan yang masih hidup serta kesucian mereka yang meninggal dunia.

Ia turut mengecam tentera pendudukan kerana menggali semula dan mencemarkan lebih 250 jenazah dari tanah perkuburan di seluruh Semenanjung Gaza semasa operasi ketenteraan terbaharu, sambil menyifatkan perbuatan itu sebagai pelanggaran terang-terangan terhadap hak si mati dan keluarga mereka.

Kempen itu juga menuntut pembebasan segera dan tanpa syarat semua tahanan Palestin di penjara Israel serta penyerahan semua mayat yang masih ditahan kepada keluarga masing-masing.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619