Selangor tunggu laporan JUPEM, asas meterai MoU persempadanan wilayah - MB

27 Dis 2025, 9:02 AM
Selangor tunggu laporan JUPEM, asas meterai MoU persempadanan wilayah - MB

AMPANG JAYA, 27 DIS: Kerajaan Selangor kini menunggu Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) menyiapkan laporan berkaitan proses persempadanan semula melibatkan Selangor dan Wilayah Persekutuan Putrajaya.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata laporan berkenaan akan menjadi asas kepada pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara Kerajaan Negeri dan Jabatan Wilayah Persekutuan.

“Selepas laporan siap, kita akan meterai MoU bersama Jabatan Wilayah Persekutuan dan seterusnya proses pemuktamadan persempadanan dapat dilaksanakan dalam tempoh satu hingga dua tahun,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan agihan sumbangan Kembali ke Sekolah Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Kelang, di sini hari ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bersama penerima baucar program Penyerahan Back To School Tenaga Nasional Berhad di Pusat Khidmat Rakyat (Penyelaras) DUN Hulu Kelang, Ampang Jaya pada 27 Disember 2025. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

Sebelum ini, Amirudin memaklumkan proses persempadanan antara Selangor dan Putrajaya dijangka dimuktamadkan sepenuhnya menjelang hujung tahun ini, dengan sebahagian besar kawasan sempadan melibatkan Putrajaya, Sepang dan Kuala Langat hampir selesai.

Pada masa sama, beliau berkata JUPEM telah menyelesaikan fasa pengukuran dan pemetaan sempadan antara Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sejauh 103.7 kilometer pada hujung Oktober 2024.

“Secara keseluruhan, sebanyak 86 lembar peta direkodkan melibatkan jajaran sempadan sepanjang 103.7 kilometer,” katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619