SUKMA Selangor tarik pengunjung ke setiap daerah, pemangkin ekonomi setempat

23 Dis 2025, 1:00 PM
SUKMA Selangor tarik pengunjung ke setiap daerah, pemangkin ekonomi setempat
SUKMA Selangor tarik pengunjung ke setiap daerah, pemangkin ekonomi setempat
SUKMA Selangor tarik pengunjung ke setiap daerah, pemangkin ekonomi setempat

SHAH ALAM, 23 DIS: Penganjuran Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026 dijangka menjadi pemangkin utama pertumbuhan ekonomi di setiap daerah, kata EXCO Pembangunan Luar Bandar Datuk Borhan Aman Shah.

Mengambil contoh Pantai Batu Laut, Kuala Langat yang menjadi tuan rumah acara sukan pelayaran, beliau berkata temasya itu bukan sahaja menarik pengunjung dari seluruh negara, malah membuka peluang ekonomi kepada penduduk setempat.

“SUKMA bukan hanya acara sukan, tetapi pemangkin ekonomi. Apabila kawasan ini menjadi tumpuan nasional, keperluan asas seperti penginapan, makanan dan perkhidmatan akan meningkat dan inilah ruang yang boleh dimanfaatkan oleh penduduk kampung.

“Antara peluang ekonomi yang dikenal pasti termasuk penyediaan inap desa, pengeluaran produk makanan tempatan seperti kerepek, pembuatan kopi tempatan serta aktiviti keusahawanan kecil yang berasaskan komuniti,” katanya kepada Media Selangor.

Beliau yang juga Ahli Dewan Negeri Tanjong Sepat menambah, Kerajaan Negeri turut memberi tumpuan kepada naik taraf kawasan pantai berkenaan bagi meningkatkan kemudahan penganjuran acara sukan layar pada kejohanan dwi tahunan itu.

SUKMA Selangor 2026 dijadual berlangsung dari 15 hingga 24 Ogos, diikuti Para SUKMA dari 5 hingga 14 September. Upacara perasmian akan diadakan di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), manakala penutup di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

Edisi kali ini menyaksikan 474 acara dalam 37 sukan, termasuk 30 sukan teras seperti ragbi dan tujuh sukan tambahan antaranya e-sukan, kriket serta silambam. Kesemua sembilan daerah dan 12 pihak berkuasa tempatan menjadi tuan rumah, kecuali acara berbasikal trek yang dijalankan di Velodrom Nasional, Nilai, Negeri Sembilan.

Selain itu, Borhan yang juga EXCO Perumahan menegaskan komitmen Kerajaan Negeri meneruskan pembangunan rumah mampu milik pada tahun hadapan.

“Sasaran pembinaan 200,000 unit rumah menjelang 2028 kekal sebagai keutamaan, dengan lebih 70,000 unit telah berjaya direalisasikan setakat ini melalui pelbagai program perumahan negeri seperti Selangorku, Harapan dan Idaman,” ujarnya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619