Sukan SEA: Badminton gagal tepati sasaran, peluang skuad sepak takraw rentap ego Thailand

14 Dis 2025, 12:45 AM
Sukan SEA: Badminton gagal tepati sasaran, peluang skuad sepak takraw rentap ego Thailand

BANGKOK, 14 DIS: Sasaran empat pingat emas diletakkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) bagi Sukan SEA Thailand 2025 gagal dicapai pemain negara selepas hanya dua wakil mara ke perlawanan akhir di Pathum Thani, hari ini.

Kedua-dua wakil tersebut adalah juara beregu lelaki dunia 2022 Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan naib juara beregu wanita Kejohanan Dunia 2025 Pearly Tan-M. Thinaah, yang menghidupkan peluang menyambar emas pada aksi di Gimnasium 4, Universiti Thammasat Kampus Rangsit.

Aaron-Wooi Yik tidak berdepan masalah menumpaskan pasangan dari Indonesia Leo Rolly Carnando-Bagas Maulana, 21-10, 21-12, dalam masa 33 minit.

Menanti Aaron-Wooi Yik di pentas final adalah gandingan Indonesia Sabar Karyaman Gutama-Moh Reza Pahlevi Isfahani, yang menyingkirkan pasangan negara Man Wei Chong-Tee Kai Wun 21-16, 21-17 dalam satu lagi aksi separuh akhir.

Bagaimanapun, tugas sulit menanti pilihan utama temasya dwitahunan itu memandangkan rekod pertemuan tidak memihak Aaron-Wooi Yi yang tewas tiga kali dalam empat pertemuan sebelum ini.

Atas kertas, Pearly-Thinaah yang juga turun selaku pilihan utama, berpotensi besar menyambar emas selepas sebelum ini menang tiga kali ke atas lawan final mereka iaitu Febriana Dwipuji Kusuma-Meilysa Trias Puspitasari, hari ini.

Pasangan nombor dua dunia itu mengesahkan slot ke final kempen sulung Sukan SEA mereka namun dipaksa bermandi peluh sebelum mengatasi pilihan keempat Rachel Allessya Rose-Febi Setianingrum, 21-14, 19-21, 21-16.

Juara beregu campuran dunia 2025 Chen Tang Jie-Toh Ee Wei pula dirundung malang apabila gagal mara ke perlawanan akhir, manakala kesemua wakil perseorangan negara iaitu Leong Jun Hao dan Justin Hoh (lelaki) serta Wong Ling Ching (wanita) turut terkandas di separuh akhir.

Sementara itu, tumpuan hari kelima kontinjen negara esok turut terarah kepada kemampuan skuad sepak takraw dalam usaha menamatkan kemarau emas acara regu berpasukan lelaki selama 34 tahun menentang musuh tradisi dan juara bertahan Thailand di Nakhon Pathom, kira-kira 90 minit perjalanan dari sini.

Dalam pada itu, Malaysia berjaya menambah koleksi enam lagi pingat emas menerusi peluncur ais negara Fang Ze Zeng, pasukan kriket T20 lelaki dan Amir Daniel Abdul Majeed daripada sukan judo.

Trio wusyu negara Lo Ying Ting, Mandy Cebelle Chen dan Sydney Chin Sy Xuan tidak ketinggalan meraih emas acara Duilian wanita, disusuli jaguh lontar peluru negara Jonah Chang Rigan dan jaguh renang negara Khiew Hoe Yean, sekali gus menjadikan Malaysia secara keseluruhan memungut 16 pingat emas, 15 perak dan 48 gangsa, untuk berada di tempat kelima carta pingat.

Kontinjen tuan rumah terus unggul di depan dengan 95 emas, 60 perak dan 39 gangsa diiikuti Indonesia di tempat kedua (31-43-36) dan Vietnam melengkapkan senarai kedudukan tiga teratas carta pingat setakat ini (30-29-54).

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619