Sukan SEA: 206 atlet, pegawai negara dipindahkan ke Bangkok susulan bah

28 Nov 2025, 3:58 AM
Sukan SEA: 206 atlet, pegawai negara dipindahkan ke Bangkok susulan bah

KUALA LUMPUR, 28 NO: Sebanyak 206 atlet dan pegawai negara yang dijadualkan ‘berkampung’ di Songkhla sempena Sukan SEA 2025 di Thailand bulan depan akan dipindahkan ke Bangkok susulan banjir yang melanda wilayah selatan Thailand.

Majlis Sukan Negara (MSN) hari ini memaklumkan pihaknya sudah bersedia untuk membantu pihak Majlis Olimpik Malaysia (MOM) menyelaraskan perpindahan itu.

“MSN telah mengadakan mesyuarat penyelarasan dalaman untuk tujuan itu dan telahpun berhubung dengan Setiausaha Agung MOM Datuk Mohd Nasir Ali, Ketua Kontinjen Malaysia (CDM) Nurul Huda Abdullah dan timbalan-timbalan CDM selain telah memaklumkan kepada setiap pengurus pasukan dan semua Persatuan Sukan Kebangsaan (PSK) terbabit.

“Tindakan memindahkan atlet itu berikutan keputusan mesyuarat Jawatankuasa Penganjur Sukan SEA ke-33 dan Sukan Para ASEAN ke-13 dipengerusikan Menteri Pelancongan dan Sukan Thailand Atthakorn Sirilatthayakon semalam, yang mengesahkan semua 10 jenis sukan dijadual berlangsung di Songkhla dipindahkan ke Bangkok,” menurut kenyataan itu.

Menurut MSN, langkah pemindahan dibuat demi memastikan penganjuran tetap boleh berlangsung dalam keadaan terkawal selain menangani kebimbangan mengenai bahaya keselamatan kesihatan atlet yang mungkin terjejas susulan banjir.

Atlet negara yang terlibat dalam acara berlangsung di Songkhla membabitkan Muay Thai, pencak silat, bola sepak lelaki, catur, judo, kabaddi, karate, petanque, wushu dan gusti.

“MOM akan memaklumkan pengesahan gelanggang bagi semua jenis sukan ini sebaik mendapat kepastian daripada penganjur,” menurut MSN.

MSN juga telah menghubungi Kedutaan Malaysia di Bangkok untuk mendapatkan bantuan bagi tujuan perpindahan itu.

Sebagai langkah berjaga-jaga, MSN dan MOM turut menyediakan prosedur operasi standard (SOP) bagi menangani sebarang isu tambahan yang mungkin timbul membabitkan kontinjen negara susulan situasi semasa.

Sukan SEA 2025 di Thailand dijadualkan pada 9 hingga 20 Dis ini.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619