Selangor hasrat tubuh majlis ekonomi kreatif, langkah strategik perkukuh industri

24 Nov 2025, 10:56 AM
Selangor hasrat tubuh majlis ekonomi kreatif, langkah strategik perkukuh industri
Selangor hasrat tubuh majlis ekonomi kreatif, langkah strategik perkukuh industri
Selangor hasrat tubuh majlis ekonomi kreatif, langkah strategik perkukuh industri

SHAH ALAM, 24 NOV: Selangor bersedia menubuhkan majlis ekonomi kreatif mulai tahun depan bagi menilai perkembangan, memperkukuh pelaksanaan serta menyemak kemajuan Pelan Tindakan Ekonomi Kreatif Selangor 2025–2035.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata majlis itu bukan sahaja menjadi platform pengawasan dan libat urus, malah berperanan sebagai institusi pemikir yang memantau serta memperkukuh pelaksanaan pelan tindakan dari semasa ke semasa.

Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari berucap ketika majlis Peluncuran Pelan Tindakan Ekonomi Kreatif Negeri Selangor 2025 di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 24 November 2025. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

“Dalam majlis ini, kita boleh meneliti perkembangan, mencorak serta menambah baik pelan tindakan dan juga dasar-dasar (berkaitannya) daripada semasa ke semasa.

“Salah satunya adalah untuk kita mengemaskini perkembangan daripada pelan tindakan ini selain mengumpulkan pemain industri sebagai sebahagian daripada anggotanya termasuk akademia dan institusi yang boleh membantu kita daripada semasa ke semasa.

“Ia akan menjadi platform perbincangan dan platform pertemuan kepada pemain-pemain industri, kerajaan dan penggiat dalam memantapkan atau dalam menguruskan ekonomi kreatif di Malaysia,” katanya selepas menyempurnakan majlis peluncuran pelan tindakan itu di sini, hari ini.

Pelan Tindakan Ekonomi Kreatif Selangor 2025–2035 dijangka menjadi pemacu utama pengukuhan ekonomi kreatif negeri melalui pendekatan strategik, inklusif, dan bersepadu bagi tempoh 10 tahun akan datang.

Orang ramai melihat pameran lukisan ketika majlis perasmian Pameran dan Bazar Seni Amal Harapan di Galeri Shah Alam pada 8 November 2025. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

SAMA pemangkin ekonomi kreatif

Selain itu, Kerajaan Negeri memperuntuk RM20 juta pada tahun depan untuk menukar bangunan lama Bank Negara Malaysia (BNM) di Seksyen 14, Shah Alam menjadi Muzium Seni Moden Selangor (SAMA).

“Kerajaan Negeri memperuntuk RM20 juta untuk pembinaan SAMA setelah kita berbelanja lebih RM30 juta untuk membeli bangunan BNM yang terletak di Seksyen 14 Shah Alam. Saya percaya ia akan jadi pemangkin kepada usaha kita untuk melancarkan kerangka ekonomi kreatif.

”Kita sudah mulakan dengan RM5 juta dalam setahun yang lepas untuk pelan dan juga langkah-langkah awalan. Tetapi kita nak tunggu kos keseluruhan dan kosnya agak besar. Jadi tahun depan kita mulakan RM20 juta,” katanya.

Sebelum ini, ketika pembentangan Belanjawan Selangor 2022, Amirudin mengumumkan pembelian bangunan BNM dengan harga RM33.4 juta bagi dijadikan galeri seni serta pusat aktiviti kebudayaan negeri.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619