PM: Kejayaan anjur Sidang Kemuncak Asean cerminan keupayaan kepimpinan Malaysia

31 Okt 2025, 4:59 AM
PM: Kejayaan anjur Sidang Kemuncak Asean cerminan keupayaan kepimpinan Malaysia

GYEONGJU (Korea Selatan), 31 OKT: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata ucapan tahniah yang diterima daripada pemimpin Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) atas kejayaan menganjurkan Sidang Kemuncak Asean ke-47 baru-baru ini, mencerminkan keupayaan Malaysia memimpin dengan hikmah dan kesungguhan.

Beliau menerima ucapan tahniah itu ketika temu santai dengan pemimpin berkenaan di luar Mesyuarat Pemimpin-Pemimpin Ekonomi APEC (AELM) di sini.

“Berkesempatan bertemu santai dengan rakan-rakan pimpinan yang turut menghadiri AELM. Dalam suasana penuh mesra, kami bertukar pandangan terkait pelbagai isu semasa dan hala tuju serantau termasuk usaha memperkukuh kerjasama ekonomi yang lebih adil dan berdaya tahan,” kata Anwar dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, Anwar disambut Presiden Korea Selatan Lee Jae Myung yang mengalu-alukan kehadiran semua pemimpin ekonomi APEC, diikuti dengan sesi bergambar.

Antara pemimpin APEC yang hadir pada AELM kali ini termasuklah Presiden China Xi Jinping, Presiden Indonesia Prabowo Subianto dan Presiden Chile Gabriel Boric.

Malaysia merupakan antara 12 negara anggota yang mengasaskan APEC, bersama dengan Australia, Brunei, Kanada, Indonesia, Jepun, Korea, New Zealand, Filipina, Singapura dan Thailand.

APEC terdiri daripada 21 ekonomi, yang merangkumi hampir tiga bilion populasi, 62 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar global dan 48 peratus perdagangan dunia pada 2021.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619