AGENDA

Anwar bertemu presiden Peru, perkukuh kerjasama industri

13 Nov 2024, 1:20 PM
Anwar bertemu presiden Peru, perkukuh kerjasama industri

Daripada M. Saraswathi

LIMA (Peru), 13 NOV: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadualkan bertemu Presiden Peru Dina Ercilia Boluarte Zegarra di Istana Kerajaan Peru di sini pada hari kedua lawatan rasmi beliau ke negara Amerika Selatan itu.

Selain mesyuarat dua hala, beliau dijadualkan menerima anugerah tertinggi Peru, ”El Sol del Peru,” sebagai pengiktirafan terhadap peranan beliau sebagai ketua kerajaan semasa lawatan rasmi pertama ke negara Amerika Latin itu sejak memegang jawatan tersebut pada 2022.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan akan menyaksikan pertukaran tiga Memorandum Persefahaman (MoU), iaitu antara Halal Development Corporation (HDC) dan Suruhanjaya Penggalakan Eksport dan Pelancongan Peru (PROMPERU).

MoU kedua mengenai kerjasama pertanian antara Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dan Institut Inovasi Pertanian Negara (INIA) manakala MoU ketiga antara Taylor’s University dan Pusat Latihan Pelancongan Peru (CENFOTUR) mengenai kerjasama dalam gastronomi.

Pertemuan dengan TikTok, Pemimpin Industri

Perdana Menteri turut dijadualkan mengadakan pertemuan dengan wakil daripada platform media sosial, TikTok dan pemimpin industri di sini di Lima.

Beliau juga akan bertemu rakan-rakan Malaysia, termasuk diaspora Malaysia.

Sebelum itu, Perdana Menteri telah menerima Laporan Tahunan Majlis Penasihat Perniagaan APEC (ABAC) 2024 daripada Pengerusi ABAC Malaysia Datuk Ruben Emir Gnanalingam.

“Laporan ini mengandungi aspirasi sektor perniagaan di ekonomi Asia Pasifik kepada pemimpin ekonomi APEC, dengan tujuan menyokong pertumbuhan inklusif yang memberi manfaat kepada rakyat, memperkukuh daya saing perniagaan dan meningkatkan kemakmuran serantau,” kata beliau.

Laporan ini akan diteliti dengan sebaiknya sebagai input penting dalam perbincangan dasar sepanjang persidangan APEC di sini, kata Anwar dalam laman media sosial beliau.

Acara pada hari tersebut akan diakhiri dengan majlis makan malam untuk Mesyuarat Peringkat Menteri Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC).

Lima, ibu negara Peru dengan jumlah penduduk seramai 11.36 juta, menganjurkan mesyuarat APEC buat kali ketiga selepas 2008 dan 2016.

Negara yang terletak di barat Amerika Selatan itu bersempadan dengan Ecuador dan Colombia di utara dan Brazil di bahagian timurnya.

Malaysia dan Peru adalah ahli Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP).

Jumlah perdagangan antara Malaysia dan Peru dari Januari hingga Julai 2024 sebanyak RM1.16 bilion, naik 36.3 peratus daripada RM847.70 juta dalam tempoh sama pada 2023.

-- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619