PM mohon doa pembentangan Belanjawan 2026 esok lancar

9 Okt 2025, 8:58 AM
PM mohon doa pembentangan Belanjawan 2026 esok lancar

PUTRAJAYA, 9 OKT: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memohon semua rakyat Malaysia mendoakan agar pembentangan Belanjawan 2026 esok berjalan lancar.

"Doakan semuanya selamat, insya-Allah," katanya ketika ditemui media selepas meninjau persiapan akhir Belanjawan 2026 di Kementerian Kewangan (MOF) di sini hari ini.

Anwar yang juga Menteri Kewangan tiba kira-kira 3 petang dan disambut Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying serta Ketua Setiausaha Perbendaharaan Datuk Johan Mahmood Merican.

Turut hadir Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.

Perdana Menteri meluangkan kira-kira 30 minit meninjau ruang operasi Belanjawan 2026 di Dewan Utama dan beramah mesra dengan warga MOF yang terlibat dalam penyediaan dokumen itu.

Sebanyak 320 pegawai dan kakitangan MOF daripada pelbagai bahagian termasuk Bahagian Cukai, Bahagian Fiskal dan Ekonomi, Bahagian Antarabangsa, Bahagian Pejabat Belanjawan Negara dan Pasukan Bajet terlibat dalam penyediaan dokumen belanjawan tersebut.

Anwar turut bergambar bersama pengurusan tertinggi setiap kumpulan yang memainkan peranan dalam proses penyediaan Belanjawan 2026 di lobi utama MOF.

Sebelum ini, Perdana Menteri dilaporkan berkata Belanjawan MADANI 2026 akan mencerminkan keutamaan kerajaan dan hala tuju negara tahun depan dengan tumpuan kepada usaha membela rakyat, memperkukuh ekonomi serta memperteguh asas negara yang mampan dan inklusif.

Anwar dijadual membentangkan Belanjawan MADANI Keempat itu di Parlimen pada 4 petang esok.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619