Anwar seru sambut Aidilfitri sederhana, elak pembaziran hadapi cabaran ekonomi

20 Mac 2026, 9:33 AM
Anwar seru sambut Aidilfitri sederhana, elak pembaziran hadapi cabaran ekonomi

BUKIT MERTAJAM, 20 MAC: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru rakyat Malaysia agar menyambut Aidilfitri secara sederhana dan berhemah dengan mengambil kira cabaran ekonomi semasa serta ketidaktentuan global.

Beliau berkata meskipun sambutan Hari Raya Aidilfitri adalah tradisi penting masyarakat Islam di negara ini, rakyat disaran mengelakkan pembaziran dan mengutamakan keperluan asas.

“Memang kita mahu menyambut Aidilfitri, tetapi saya ingin menasihatkan supaya bersederhana. Jika kebiasaannya menyediakan tujuh jenis kuih, mungkin boleh dikurangkan kepada empat. Begitu juga dengan penyediaan ketupat, tidak perlu berlebihan.

“Kita perlu sentiasa beringat dan menyimpan sedikit sebagai langkah berjaga-jaga,” katanya ketika berucap pada program Santai Akhir Ramadan Bersama Pimpinan Komuniti Permatang Pauh di Dewan Orang Ramai Permatang Pasir, di sini, hari ini.

Beliau berkata situasi global termasuk konflik antarabangsa memberi kesan kepada kestabilan ekonomi, khususnya membabitkan bekalan minyak dan gas.

“Tengok sahaja peperangan yang berlaku, ia memberi kesan kepada harga minyak dan gas. Kita masih mampu bertahan kerana pengurusan yang baik, namun rakyat perlu terus berwaspada dan berbelanja secara berhemah,” katanya.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata amalan berjimat cermat penting bagi memastikan kestabilan kewangan isi rumah, terutama ketika berdepan kenaikan harga barangan akibat gangguan rantaian bekalan global.

Beliau yang dalam lawatan kerja singkat ke Pulau Pinang hari ini turut mengingatkan bahawa Ramadan seharusnya menjadi medan latihan untuk membentuk disiplin diri, termasuk dalam mengawal perbelanjaan.

Umat Islam di Malaysia dijangka menyambut Aidilfitri esok.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619