Kerajaan Persekutuan tambah pemberian kepada negeri hingga RM10.5 bilion

5 Mac 2026, 12:30 PM
Kerajaan Persekutuan tambah pemberian kepada negeri hingga RM10.5 bilion

PUTRAJAYA, 5 MAC: Majlis Kewangan Negara (MKewN) hari ini bersetuju meningkatkan pemberian kerajaan Persekutuan kepada kerajaan negeri yang dijangka mencecah RM10.5 bilion tahun ini daripada RM10.3 bilion pada 2025, menurut Kementerian Kewangan (MOF).

MOF memaklumkan MKewN turut bersetuju menambah baik pemberian kerajaan Persekutuan kepada kerajaan negeri, khususnya Pemberian Senarai Bersama, Pemberian Penyenggaraan Jalan Negeri dan agihan Cukai Pelancongan.

Pemberian kerajaan Persekutuan di bawah Kerajaan MADANI meningkat daripada RM8.1 bilion pada 2022 kepada RM10.3 bilion pada tahun lepas, tambah MOF.

“Peningkatan ini adalah rentetan kenaikan kadar Pemberian Mengikut Bilangan Orang (PMBO) bermula 2026 seperti yang digariskan oleh Kerajaan MADANI. Bagi meningkatkan kemampanan aliran tunai kerajaan negeri, MKewN turut bersetuju dengan penambahbaikan mekanisme penyaluran di bawah Senarai Bersama,” menurut MOF.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan berkata Kerajaan MADANI komited untuk menambah baik pemberian kerajaan Persekutuan kepada semua kerajaan negeri setiap tahun demi manfaat seluruh rakyat, tanpa mengira negeri atau wilayah.

“Seperti yang termaktub dalam kerangka Ekonomi MADANI, limpahan hasil negara mesti diagih secara saksama dan bertunjangkan tatakelola baik,” kata beliau dalam kenyataan yang sama.

Beliau berkata kerajaan MADANI sentiasa terbuka untuk bekerjasama erat dengan semua kerajaan negeri, tanpa mengambil kira pendirian politik.

“Penambahbaikan pemberian ini penting untuk memperhebat pembangunan sosioekonomi dan prasarana kritikal agar kita dapat berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah sebagai satu negara,” kata beliau.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619