Sejumlah RM22.9 juta pembelian RON95 direkod semalam

29 Sep 2025, 8:55 AM
Sejumlah RM22.9 juta pembelian RON95 direkod semalam

ALOR SETAR, 29 SEPT: Sejumlah RM22.9 juta nilai pembelian petrol RON95 direkodkan dalam tempoh sehari pelaksanaan inisiatif BUDI MADANI RON95 (BUDI95) di seluruh negara, semalam.

Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying berkata nilai pembelian itu bersamaan dengan 11.5 juta liter RON95 yang dibeli oleh pengguna pada harga RM1.99 seliter.

"Sebagai makluman, pada 28 Sept (Ahad) fasa kedua BUDI95 telah dibuka kepada lima juta penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) di seluruh negara dan dalam tempoh sehari, RM22.9 juta pembelian telah direkodkan.

"Proses penebusan berjalan lancar tanpa gangguan. Ini menyusuli kejayaan fasa pertama pada 27 Sept (Sabtu) yang melibatkan 300,000 anggota polis dan tentera di seluruh negara," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas meninjau Program BUDI95: Pengisian Minyak Bersubsidi RON95 kepada penerima STR, bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Darul Aman Teh Swee Leong di stesen minyak BHPetrol di sini hari ini.

Lim berkata lagi dengan pelaksanaan inisiatif tersebut, penjimatan yang diperoleh akan disalurkan kepada peningkatan perkhidmatan kesihatan, pendidikan dan pembangunan prasarana asas.

Justeru, beliau menyeru rakyat untuk memanfaatkan faedah tersebut dan bagi memastikan proses penebusan berjalan lancar, mereka disarankan memastikan cip MyKad berfungsi selain lesen memandu masih sah.

"Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) turut mengemas kini pangkalan data susulan terdapat aduan mengenai status kelayakan. Pada 30 Sept (esok), sistem ini akan dibuka sepenuhnya kepada 16 juta warganegara berumur 16 tahun ke atas yang memiliki MyKad dan lesen memandu aktif," katanya.

Dalam pada itu beliau turut mengingatkan orang ramai supaya tidak tergesa-gesa mengisi petrol esok, kerana semua warganegara yang layak tetap dapat menikmati harga subsidi RM1.99 seliter dalam jangka masa panjang.

-- BERNAMA

TAG: Lim Hui Ying, BUDI MADANI, RON95, petrol, MyKad

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619