Pegawai, anggota polis terlibat kes barang di inap desa hilang dihad tugas

11 Sep 2025, 10:46 AM
Pegawai, anggota polis terlibat kes barang di inap desa hilang dihad tugas

SHAH ALAM, 11 SEPT: Seorang pegawai dan beberapa anggota polis yang ditahan berhubung kes kehilangan barangan peribadi di sebuah banglo inap desa di Kajang pada 28 Ogos lepas telah dikenakan tindakan had tugas.

Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar berkata siasatan kes masih berjalan dan beberapa kenyataan telah direkodkan setakat ini.

“Kes itu belum selesai dan siasatan masih berjalan.

“Kesemua yang terlibat masih dikekalkan dalam tugas harian cuma bidang tugas mereka dihadkan,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Media sebelum ini melaporkan pegawai terbabit bersama beberapa anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang ditahan selepas didakwa terlibat dalam kehilangan barangan peribadi bernilai ratusan ribu ringgit milik seorang daripada penghuni inap desa tersebut selepas serbuan polis ke atas premis itu.

Menurut laporan itu, serbuan dilakukan oleh pasukan terbabit selepas polis menerima aduan berhubung bunyi bising, dipercayai akibat aktiviti hiburan di premis berkenaan.

Pegawai dan anggota terlibat ditahan pada petang 29 Ogos bagi membantu siasatan sebelum dilepaskan dengan jaminan polis.

Mengulas sama ada terdapat pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) oleh pegawai dan anggota polis terbabit ketika serbuan, Shazeli berkata hal itu belum boleh didedahkan kerana siasatan masih berjalan.

"Itu saya tidak boleh dedahkan lagi kerana masih dalam peringkat siasatan pihak Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) IPK (Ibu Pejabat Polis Kontinjen) Selangor," katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619