Taktik sindiket dadah guna rumah inap desa terbongkar, syabu RM13 juta dirampas

29 Jan 2026, 7:32 AM
Taktik sindiket dadah guna rumah inap desa terbongkar, syabu RM13 juta dirampas
Taktik sindiket dadah guna rumah inap desa terbongkar, syabu RM13 juta dirampas
Taktik sindiket dadah guna rumah inap desa terbongkar, syabu RM13 juta dirampas

KUALA LUMPUR, 29 JAN: Polis membongkar taktik sindiket pengedaran dadah yang menjadikan rumah inap desa sebagai pusat penyimpanan bahan itu sebelum mengedarkannya ke pasaran tempatan dalam serbuan di sebuah rumah teres di Segambut di sini, Selasa lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Fadil Marsus berkata empat lelaki berusia 23 hingga 32 tahun turut ditahan dalam serbuan berkenaan dan 250 bungkusan plastik teh berisi dadah disyaki jenis syabu seberat 261 kilogram dianggarkan bernilai RM13 juta dirampas.

“Siasatan mendapati sindiket itu aktif sejak enam bulan lepas dan modus operandi mereka adalah menyewa rumah inap desa selama empat hari untuk menyimpan bungkusan dadah berkenaan sebelum diedar.

“Rumah inap dibayar pada kadar RM200 sehari dan sindiket akan berpindah dari satu rumah ke rumah lain bagi mengelak aktiviti mereka dikesan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur hari ini.

Beliau berkata setiap bungkusan plastik teh mengandungi kira-kira satu kilogram syabu dianggarkan bernilai RM50,000, dengan kesemua dadah itu jika terlepas ke pasaran mampu membekalkan kepada 1.3 juta orang.

Fadil berkata polis turut merampas sebuah kereta jenis Toyota Vellfire dan Perodua Alza yang menggunakan nombor pendaftaran palsu serta sejumlah wang tunai dengan jumlah keseluruhan sitaan dianggarkan RM100,000.

Semakan mendapati tiga daripada empat lelaki terbabit mempunyai rekod jenayah lampau dan semuanya direman hingga 3 Februari ini untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Polis sedang giat mengesan saki-baki ahli sindiket dan siasatan masih diteruskan,” katanya.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619