AGENDA

Sindiket tumpas, dadah pelbagai jenis bernilai RM1.6 juta dirampas

16 Mac 2025, 10:30 AM
Sindiket tumpas, dadah pelbagai jenis bernilai RM1.6 juta dirampas

BAGAN DATUK, 16 MAC: Polis berjaya menumpaskan satu sindiket memproses pelbagai jenis dadah dengan penangkapan tiga lelaki tempatan dalam tiga serbuan berasingan di Perak dan Lembah Klang pada Rabu lepas.

Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman DCP Mat Zani @ Mohd Salahuddin Che Ali berkata bertindak atas maklumat pihaknya menahan suspek pertama berusia 47 tahun di sebuah rumah papan dalam kawasan ladang kelapa sawit di Ulu Bernam, Bagan Datuk, kira-kira 10.20 malam.

"Semasa serbuan, suspek sedang memproses dadah jenis ketamin di dalam rumah yang disewa dan dijadikan makmal haram sejak tiga bulan lalu.

"Hasil pemeriksaan dalam rumah tersebut berjaya menemui dadah jenis ketamin dan syabu dengan anggaran berat masing-masing 27.05 kilogram (kg) dan 1.8 kg serta cecair dadah jenis ketamin seberat 40 liter," katanya pada sidang media di perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah Bagan Datuk di sini hari ini.

Beliau berkata pihaknya turut menahan dua lagi suspek kira-kira 11.30 malam pada hari yang sama di dua rumah berasingan di Sentul, Kuala Lumpur, dan Batu Caves, Selangor. Suspek masing-masing berusia 44 dan 42 tahun.

Mat Zani berkata, polis turut merampas peralatan memproses dadah, pelbagai jenis bahan kimia serta dua kenderaan, iaitu Nissan Almera dan Toyota Camry, dalam serbuan berkenaan.

"Nilai keseluruhan rampasan, termasuk dadah dan kenderaan, dianggarkan berjumlah RM1.7 juta.

"Dadah yang dirampas ini boleh digunakan seramai 232,500 penagih dan dipercayai untuk pasaran di sekitar Perak dan Lembah Klang," katanya, sambil menambah bahawa hasil ujian saringan mendapati kesemua suspek negatif dadah.

Menurutnya, sindiket ini dipercayai aktif sejak pertengahan tahun lalu dan semua suspek mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah. Mereka kini direman selama seminggu sehingga 19 Mac bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

"JSJN akan meneruskan siasatan bagi mengesan saki-baki ahli sindiket yang masih bebas agar mereka dapat diheret ke muka pengadilan," katanya.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619