Program Pemutihan Inap Desa Sabak Bernam berjaya, pelaksanaan diperluas

10 Feb 2026, 3:30 AM
Program Pemutihan Inap Desa Sabak Bernam berjaya, pelaksanaan diperluas

KLANG, 10 FEB: Pelaksanaan Program Pemutihan Inap Desa di Sabak Bernam menunjukkan perkembangan positif apabila lebih separuh daripada inap desa di daerah itu kini telah beroperasi secara sah.

EXCO Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kampung Baharu Selangor, Dato’ Ng Suee Lim berkata, lebih separuh daripada kira-kira 140 inap desa di Sabak Bernam kini telah berjaya menjalani proses pemutihan.

Galeri milik artis Haron Mokhtar di tengah sawah padi, dikenali sebagai Galeri Merah Teratak Anak Amas di Sungai Besar, Sabak Bernam. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIA SELANGOR

Menurutnya, majoriti pengusaha memberi kerjasama baik walaupun masih terdapat segelintir yang memerlukan masa menyesuaikan diri dengan keperluan baharu, manakala beberapa inap desa yang beroperasi secara sah telah mula mengenakan Fi Kelestarian Penginapan.

“Memandangkan model pemutihan di Sabak Bernam berkesan, Kerajaan Negeri merancang memperluaskan pelaksanaannya ke seluruh Selangor.

“Pada separuh kedua tahun ini, semua pihak berkuasa tempatan akan diarahkan memulakan pelaksanaan program ini,” katanya pada Majlis Makan Malam Media Tahun Baharu Cina 2025 di sini, semalam.

EXCO Pelancongan Dato' Ng Suee Lim ketika sidang media pengumuman senarai baharu Penyelarasan Kampung Baru dan Ketua Kampung Baru Cina Negeri Selangor di pejabatnya di Bangunan SSAAS, Shah Alam pada 6 Januari 2026. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

Suee Lim menegaskan program itu bukan untuk membebankan pengusaha, sebaliknya bertujuan membantu mereka beroperasi secara sah serta memastikan keselamatan dan perlindungan kepada pelanggan.

Beliau turut menjelaskan proses pemutihan perlu dilaksanakan secara berperingkat bagi mengelakkan sebarang kekangan.

Untuk rekod, Program Pemutihan Inap Desa Selangor bermula pada 2025 dengan Sabak Bernam sebagai daerah perintis, melibatkan inap desa yang kebanyakannya dibina di kawasan sawah padi dan tidak memenuhi piawaian operasi sedia ada.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619