ad

Messi ucap selamat tinggal, Colombia, Paraguay dan Uruguay sah ke Piala Dunia

5 Sep 2025, 10:50 AM
Messi ucap selamat tinggal, Colombia, Paraguay dan Uruguay sah ke Piala Dunia

RIO DE JANEIRO, 5 SEPT: Colombia, Paraguay dan Uruguay mengesahkan tempat ke Piala Dunia FIFA tahun depan manakala Lionel Messi mengucapkan selamat tinggal penuh emosi kepada peminat Argentina pada hari kedua terakhir saingan kelayakan Amerika Selatan, lapor Xinhua.

Messi menjaringkan dua gol ketika Argentina menewaskan Venezuela 3-0 dalam apa yang dijangka menjadi aksi kelayakan terakhir di laman sendiri buat pemain berusia 38 tahun itu, sekali gus menjadi tumpuan utama perlawanan Khamis.

Kapten Albiceleste itu menahan sebak ketika peminat melaungkan namanya semasa sesi pemanasan badan, sebelum membuka jaringan dengan sepakan melepasi penjaga gol Rafael Romo.

Pemain gantian Lautaro Martinez menambah gol kedua dengan tandukan hasil hantaran rendah Nico Gonzalez, sebelum Messi melengkapkan kemenangan dengan jaringan ketiga selepas gerakan bersama Thiago Almada.

Messi mengakui malam itu penuh makna perpisahan di Stadium Monumental, Buenos Aires.

“Dapat menamatkan (aksi kelayakan) dengan cara ini di sini bersama penyokong saya adalah sesuatu yang saya selalu impikan. (Persaraan) bukan sesuatu yang saya suka, mahu atau jangka. Saya suka bermain dan tidak mahu ia berakhir, tetapi saya juga sedar saat itu semakin hampir,” katanya.

Di Asuncion, keputusan seri tanpa jaringan menentang Ecuador memastikan Paraguay layak ke Piala Dunia buat kali pertama dalam tempoh 16 tahun, mengumpul 25 mata - catatan terbaik sejak kempen kelayakan 2010.

“Rahsianya adalah memenangi sokongan pemain, bukan sekadar berkongsi idea, tetapi juga bagaimana kami mahu rakyat melihat kami,” kata jurulatih Paraguay Gustavo Alfaro.

Ecuador yang kini berada di tempat keempat carta kelayakan Amerika Selatan turut menempah tiket ke Piala Dunia.

Di Barranquilla, Juan Fernando Quintero menjaringkan satu gol dan mencipta satu lagi ketika Colombia menewaskan Bolivia 3-0 untuk mengesahkan kelayakan ke Piala Dunia di Amerika Syarikat, Mexico dan Kanada.

James Rodriguez membuka tirai jaringan hasil hantaran lintang Santiago Arias, sebelum Jhon Cordoba menggandakan kedudukan dengan rembatan selepas menerima hantaran jauh Quintero. Quintero kemudian menjaringkan gol ketiga dengan sepakan tenang selepas menerima hantaran Luis Diaz.

“Kami berharap dapat melakukannya lebih awal, tetapi kami sangat gembira akhirnya berjaya ke Piala Dunia,” kata jurulatih Colombia Nestor Lorenzo. “Penantian itu panjang dan sukar kerana ia membuat anda gelisah. Kami hanya mahu membalas sokongan peminat.”

Di Montevideo, Uruguay mengesahkan kelayakan ke Piala Dunia buat kali kelima berturut-turut selepas menewaskan Peru 3-0.

Rodrigo Aguirre membuka jaringan dengan tandukan selepas hantaran lintang Guillermo Varela, sebelum mengumpan bola kepada Giorgian de Arrascaeta yang rembatan kencangnya terkena palang lalu menerjah gawang.

Federico Vinas menambah gol ketiga menerusi serangan balas dengan penyudah kemas menewaskan penjaga gol Pedro Gallese, sekali gus menamatkan harapan Peru.

“Kami mempunyai pemain yang semakin meningkat ... dan mereka berjaya menepati tuntutan perlawanan penting ini,” kata jurulatih Uruguay Marcelo Bielsa, yang enggan meramal peluang pasukannya menjulang trofi berprestij itu.

“Harapan tidak sama dengan ramalan. Harapanlah yang mendorong kami. Ramalan dalam bola sepak sangat sukar dibuat,” tambah jurulatih dari Argentina itu.

Di Rio de Janeiro, pemain muda Chelsea Estevao turut mencatat nama sebagai penjaring ketika Brazil menewaskan Chile 3-0.

Estevao membuka jaringan dengan sepakan gunting dari jarak dekat, sebelum larian dan hantaran silang Luiz Henrique ditanduk masuk oleh Lucas Paqueta.

Bruno Guimaraes melengkapkan kemenangan di Stadium Maracana dengan gol mudah selepas rembatan Henrique terkena palang.

“Kami bermain dengan intensiti, rentak yang baik, pertahanan kukuh dan tekanan berterusan,” kata jurulatih Brazil Carlo Ancelotti. “Saya fikir, sama seperti kami, penyokong juga sangat gembira dengan persembahan pasukan.”

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.