200 sekolah berasrama bawah KPM bakal dilengkapi CCTV

4 Sep 2025, 6:40 AM
200 sekolah berasrama bawah KPM bakal dilengkapi CCTV

KOTA BHARU, 4 SEPT: Sebanyak 200 sekolah berasrama di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) di seluruh negara akan dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV) dalam masa terdekat dengan peruntukan RM3 juta.

Ketua Pengarah Pendidikan Dr Mohd Azam Ahmad berkata langkah itu bagi meningkatkan tahap keselamatan pelajar di sekolah khususnya di asrama.

“Pemasangan CCTV akan dibuat secara berperingkat berdasarkan keperluan serta faktor jumlah pelajar di sesebuah sekolah.

“Asrama yang besar dan mempunyai pelajar yang ramai akan menjadi kriteria untuk didahulukan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Kebangsaan Pengurusan Pendidikan Pengetua Sekolah Malaysia Kali Ke-63 di sini hari ini.

Mohd Azam berkata pihak pengurusan akan mendapatkan nasihat pakar bagi lokasi pemasangan CCTV di kawasan asrama.

“Kita tidak boleh pasang sewenang-wenang seperti di tandas dan sebagainya. Kita tidak mahu privasi mereka terganggu. Kita ada akta-akta perlu dipatuhi, sebab itu perlu berhati-hati dalam perkara ini,” katanya.

Mohd Azam berkata selain pemasangan CCTV, pihaknya juga dalam perancangan menambah warden asrama hasil cadangan daripada Majlis Pengetua yang akan dibawa ke peringkat kementerian.

“Demi keselamatan pelajar, kerajaan dan KPM akan berusaha sebaik mungkin. Setakat ini, tiada perancangan mengambil pesara tentera atau polis (sebagai warden), tetapi kita melihat asrama di sekolah adalah institusi pendidikan, jadi warden dalam kalangan guru amat penting.

“Apabila warden dalam kalangan guru, mereka boleh merancang aktiviti pendidikan untuk pelajar. Ada juga cadangan guru warden ini mengajar empat hingga lima waktu dalam seminggu dan selebihnya menjaga pelajar di asrama,” katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619