GOMBAK, 1 SEPT: Bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) RM100 yang mula diagihkan semalam membolehkan rakyat membeli keperluan asas dengan harga murah dan berkualiti, sekali gus mengurangkan beban kos sara hidup.
Pada hari pertama pelaksanaan, kira-kira 850,000 rakyat membelanjakan lebih RM50 juta di lebih 7,300 premis berdaftar di seluruh negara sehingga jam 9.30 malam.
Penerima, B Yeswary, 58, berkata bantuan itu amat membantu pembelian barangan dapur harian.

“Harga yang ditawarkan lebih murah berbanding pasaran. Inisiatif sebegini patut diteruskan kerana ia memberi impak besar kepada golongan B40 yang bergelut dengan kos sara hidup,” katanya ketika ditemui Media Selangor.
Bagi Ng Sow Khean, 44, beliau gembira bantuan tersebut diterima bertepatan dengan penganjuran Karnival 100 Jualan Ehsan Rahmah (JER) yang menawarkan barangan asas pada harga lebih rendah.

“Barang yang dijual murah dan berkualiti. Ia membantu mengurangkan beban kewangan selain memberi peluang pengguna membuat pilihan bijak,” katanya.
Sementara itu, Hamizan Hussin, 56, berkata SARA RM100 amat bermakna khususnya ketika harga barangan asas terus meningkat.

“Contohnya, beras murah memang susah nak dapat. Tetapi menerusi Jualan Ehsan Rahmah, semua keperluan asas lengkap, murah dan berkualiti. Saya harap kerajaan meneruskan inisiatif ini demi rakyat yang memerlukan,” ujarnya.
SARA RM100 ialah bantuan sekali bayar yang dikreditkan terus ke dalam MyKad, memanfaatkan lebih 22 juta rakyat Malaysia berusia 18 tahun ke atas.