KPDN sambut baik cadangan beli minyak masak subsidi guna MyKad

13 Feb 2026, 7:43 AM
KPDN sambut baik cadangan beli minyak masak subsidi guna MyKad

KULIM, 13 FEB: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menyambut baik cadangan untuk memperluas penggunaan ekosistem digital berasaskan MyKad, termasuk integrasi dengan sistem Sumbangan Asas Rahmah (SARA).

Timbalan Menterinya Senator Datuk Dr Fuziah Salleh berkata ia akan mempermudah urusan pengguna untuk membeli barangan bersubsidi seperti minyak masak paket.

"Ketika ini KPDN menggunakan aplikasi Sistem Skim Penstabilan Harga Minyak Masak (eCOSS), yang mana kita gunakan kod imbasan untuk pengguna beli minyak masak paket, memandangkan tidak semua premis atau kedai runcit mempunyai sistem terminal MyKasih," katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Tahun Baharu Cina 2026 (SHMMP TBC 2026) di sebuah pasar raya dekat sini, hari ini.

Semalam, Kementerian Kewangan (MOF) memaklumkan sedang meneliti cadangan memperluas penggunaan ekosistem digital berasaskan MyKad, termasuk diintegrasikan dengan sistem SARA bagi memperkukuh pengesahan identiti dalam penjualan minyak masak bersubsidi.

Fuziah berkata seperti yang dimaklumkan oleh MOF, menjelang akhir tahun ini kira-kira 10,000 kedai runcit akan mempunyai terminal MyKasih untuk penerima SARA.

"Jadi apa yang KPDN lakukan pada hari ini adalah langkah sementara sehingga matlamat itu tercapai bagi memastikan pengguna yang layak sahaja menerima sumbangan.

"Menerusi aplikasi eCOSS, kod imbasan QR masih boleh digunakan termasuklah di Program Jualan Rahmah atau kedai runcit, walaupun tiada terminal MyKasih," katanya.

Sementara itu, sempena pelaksanaan SHMMP TBC 2026, Fuziah berkata kawalan harga akan berkuatkuasa bermula 13 hingga 21 Feb ini membabitkan keseluruhan 16 jenis barangan.

Antara barangan terlibat di bawah SHMMP TBC 2026 termasuk ikan bawal putih, udang putih, bawang, sayur-sayuran terpilih, ayam serta daging dan ternakan babi bagi negeri-negeri berkaitan.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619