4.63 juta ahli KWSP buat pengeluaran Akaun Fleksibel libat RM14.79 bilion

14 Ogos 2025, 9:54 AM
4.63 juta ahli KWSP buat pengeluaran Akaun Fleksibel libat RM14.79 bilion

SHAH ALAM, 14 OGOS: Seramai 4.63 juta ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) membuat pengeluaran melalui Akaun Fleksibel melibatkan RM14.79 bilion, sejak diperkenal Mei tahun lalu.

Kementerian Kewangan berkata jumlah itu melibatkan 35.1 peratus daripada keseluruhan 13.2 juta ahli berumur bawah 55 tahun, membuat pengeluaran setakat 30 Jun lalu.

"Jumlah baki simpanan keseluruhan Akaun Fleksibel setakat 30 Jun pula sebanyak RM10.16 bilion. Akaun ini diwujudkan untuk membolehkan ahli mengeluarkan simpanan pada bila-bila masa, khususnya ketika kecemasan," menurut jawapan bertulis kementerian itu.

Datuk Seri Dr Shahidan Kasim (PN-Arau) meminta Menteri Kewangan menyatakan bila kerajaan akan membenarkan Pengeluaran Khas KWSP 2025 dengan memindahkan simpanan Akaun 1 sebanyak 30 peratus ke dalam simpanan Akaun 3 bagi membantu rakyat miskin menghadapi tekanan kos sara hidup semasa.

Kementerian Kewangan memaklumkan pengeluaran khas daripada Akaun Persaraan (Akaun 1) yang dibenarkan sebelum ini hanyalah langkah sementara bagi menangani situasi pandemik Covid-19 dan tidak selaras dengan mandat utama KWSP sebagai institusi perlindungan sosial.

“Mandat utama KWSP adalah memastikan kecukupan simpanan persaraan untuk menampung keperluan perbelanjaan ahli di hari tua," tambah kenyataan itu.

Kementerian itu berkata simpanan KWSP, khususnya Akaun 1, bukan sumber penyelesaian jangka panjang bagi cabaran kos sara hidup dan status pekerjaan semasa.

“Kerajaan sentiasa cakna terhadap cabaran hidup rakyat dan pelbagai bentuk bantuan seperti tunai langsung, subsidi bersasar dan insentif khas telah diperkenalkan bagi meringankan beban serta memastikan kesejahteraan hidup rakyat,” menurut kenyataan itu lagi.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619