AGENDA

3.5 juta ahli KWSP pindah RM10.86 bilion dana ke akaun fleksibel

27 Jun 2024, 3:22 AM
3.5 juta ahli KWSP pindah RM10.86 bilion dana ke akaun fleksibel

KUALA LUMPUR, 27 JUN: Sebanyak 3.45 juta ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) membuat pilihan untuk mempunyai amaun permulaan dalam Akaun Fleksibel dengan jumlah perpindahan daripada Akaun Sejahtera sebanyak RM10.86 bilion setakat 10 Jun, menurut Kementerian Kewangan (MOF).

Kementerian itu menjelaskan angka berkenaan merangkumi 26.6 peratus daripada jumlah keseluruhan ahli KWSP di bawah umur 55 tahun telah membuat pilihan tersebut.

“Jumlah ahli yang telah membuat pengeluaran melalui Akaun Fleksibel adalah sebanyak 2.93 juta atau 22.6 peratus (daripada jumlah keseluruhan ahli di bawah umur 55 tahun), melibatkan jumlah pengeluaran sebanyak RM6.98 bilion,” menurut kementerian itu dalam jawapan bertulis Dewan Rakyat pada Rabu.

Kementerian itu menjawab soalan Datuk Seri Sh Mohmed Puzi Sh Ali (BN-Pekan) mengenai statistik semasa peratusan pengeluaran wang pencarum daripada Akaun Fleksibel KWSP dan kesan jangka masa panjang terhadap kestabilan simpanan persaraan pencarum.

Selain itu, MOF memaklumkan penstrukturan semula Akaun KWSP dilihat tidak memberi kesan signifikan kepada kedudukan kewangan KWSP kerana KWSP telah memperuntukkan baki tunai yang mencukupi untuk menampung permintaan pengeluaran Akaun Fleksibel oleh ahli.

Ia bagi menjawab soalan Sim Tze Tzin (PH-Bayan Baru) mengenai peratus pencarum KWSP yang memilih pindahan ke Akaun 3 dan jumlah pengeluaran yang dikeluarkan setakat ini selain impak kepada kedudukan kewangan KWSP akibat pengeluaran itu.

- BERNAMA

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619