AGENDA

Seramai 4.1 juta ahli KWSP pindah RM14.5 bilion simpanan ke akaun fleksibel

12 Dis 2024, 4:40 AM
Seramai 4.1 juta ahli KWSP pindah RM14.5 bilion simpanan ke akaun fleksibel

KUALA LUMPUR, 12 DIS: Seramai 4.1 juta atau 31.6 peratus daripada jumlah keseluruhan ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) di bawah umur 55 tahun memilih untuk mempunyai amaun permulaan dalam Akaun Fleksibel dengan jumlah perpindahan sebanyak RM14.5 bilion.

Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata sejumlah RM6.6 bilion simpanan pula telah dipindahkan ke Akaun Persaraan.

“Setakat 27 Nov 2024, seramai empat juta atau 30.5 peratus daripada keseluruhan ahli KWSP telah membuat pengeluaran melalui Akaun Fleksibel dengan jumlah pengeluaran RM11.6 bilion.

“Jumlah baki simpanan keseluruhan Akaun Fleksibel pula adalah sebanyak RM7.4 bilion setakat November 2024,” katanya ketika sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.

Beliau menjawab soalan Senator Datuk Bobbey Ah Fang Suan yang ingin tahu jumlah pencarum KWSP yang telah memindahkan caruman daripada Akaun 1 ke Akaun 3 dan jumlah pencarum serta caruman yang telah dikeluarkan daripada Akaun 3 setakat ini.

Mengambil kira trend pengeluaran Akaun Fleksibel untuk 2024, jangkaan pengeluaran untuk tahun-tahun akan datang adalah sekitar RM5 hingga 7 bilion setahun, katanya.

Amir Hamzah berkata jumlah ini adalah minimum jika dibandingkan dengan pertumbuhan saiz dana pelaburan KWSP yang meningkat dalam RM100-120 bilion setahun daripada penjanaan pendapatan pelaburan serta aliran masuk caruman bersih yang diterima daripada ahli.

“Jangkaan pengeluaran ini juga adalah jauh lebih rendah berbanding peruntukan baki tunai berpandukan Alokasi Aset Strategik (SAA) pada julat dua sehingga enam peratus daripada jumlah aset pelaburan KWSP, bersamaan sekurang-kurangnya RM25 bilion,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau turut menjelaskan bahawa KWSP sedia melihat sekiranya ada keperluan untuk merujuk semula terma bagi penukaran simpanan konvensional kepada simpanan syariah.

“Kita melihat kalau ada peluang (rujuk semula) terma tersebut, tetapi ini memerlukan perhatian yang lebih mendalam. Ini masih dalam pertimbangan KWSP,” katanya.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk A Kesavadas Nair yang ingin tahun sama ada ahli boleh menukar semula simpanan syariah kepada simpanan konvensional.

-- BERNAMA

 

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619