AGENDA

Israel sasar warga Palestin tunggu bantuan, 44 terkorban

26 Jul 2025, 1:43 AM
Israel sasar warga Palestin tunggu bantuan, 44 terkorban

GAZA CITY, 26 JULAI: Serangan udara Israel pada Jumaat mengorbankan sekurang-kurangnya 44 rakyat Palestin dan mencederakan puluhan yang lain, menyasarkan sekolah yang menempatkan pelarian, khemah serta orang awam yang sedang menunggu bantuan, menurut sumber perubatan dan saksi, lapor Anadolu Ajansi.

Dalam serangan terbaharu, sekurang-kurangnya 15 terbunuh manakala kira-kira 250 lagi cedera apabila Israel menyerang sekumpulan orang awam yang sedang menunggu trak bantuan berhampiran kawasan Zikim, utara Beit Lahia di utara Gaza.

Tidak lama sebelum itu, dua rakyat Palestin maut dalam satu serangan udara yang menyasarkan sebuah rumah berhampiran persimpangan Abu Habib di kejiranan Zeitoun, tenggara Gaza.

Salah satu serangan paling dahsyat berlaku di Sekolah Al-Qahira yang menempatkan ribuan penduduk yang hilang tempat tinggal.

Sumber perubatan mengesahkan lima mangsa maut dalam serangan itu termasuk seorang kanak-kanak, manakala 10 lagi cedera dengan sebahagian daripadanya dilaporkan dalam keadaan kritikal.

Saksi berkata sekolah itu disasarkan secara langsung.

Di lokasi lain di bandar itu, dua rakyat Palestin terbunuh dan tiga lagi cedera dalam serangan yang menyasarkan sekumpulan orang awam di kejiranan Zeitoun.

Sumber perubatan memberitahu Anadolu bahawa seorang rakyat Palestin yang sedang menunggu bantuan kemanusiaan di Rafah, selatan Gaza, turut ditembak mati oleh tentera Israel.

Di Gaza City, serangan Israel mengorbankan empat rakyat Palestin di kawasan kejiranan Al-Tuffah dan Al-Rimal, termasuk serangan ke atas sekolah yang menjadi tempat perlindungan.

Saksi memaklumkan berlaku suasana panik ketika keluarga melarikan diri dari kawasan serangan.

Kematian dilaporkan di Gaza City, Jabalia, Beit Lahia dan Khan Younis, termasuk mangsa yang meninggal akibat kecederaan dari serangan sebelumnya.

Pasukan perubatan turut menemukan beberapa mayat lagi di timur Khan Younis.

-- BERNAMA-ANADOLU

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619