AGENDA

Malaysia, Korea Selatan sepakat perluas kerjasama strategik pelbagai bidang

23 Jul 2025, 12:00 PM
Malaysia, Korea Selatan sepakat perluas kerjasama strategik pelbagai bidang

KUALA LUMPUR, 23 JULAI: Malaysia dan Korea Selatan sepakat untuk terus memperluas kerjasama strategik dalam bidang perdagangan, pelaburan, peralihan hijau, pendigitalan dan pertahanan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata perkara itu dibincangkan semasa menerima kunjungan hormat Duta Khas Presiden Korea Selatan Kim Young Choon, yang kini dalam rangka lawatan kerja ke Malaysia.

“Alhamdulillah, kedua-dua negara terus sepakat untuk memperluas kerjasama dalam bidang perdagangan, pelaburan, peralihan hijau, digital dan pertahanan,” kata beliau menerusi hantaran di laman Facebook, hari ini.

Anwar berkata Korea Selatan kini merupakan rakan dagang kelapan terbesar Malaysia dengan jumlah perdagangan bernilai US$23.94 bilion (RM113 bilion) pada tahun lepas.

Beliau juga menyambut baik hasrat Korea Selatan untuk memuktamadkan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) serta memorandum persefahaman dalam bidang industri pertahanan menjelang Oktober ini.

Anwar berkata kedua-dua pihak turut bertukar-tukar pandangan mengenai persediaan Sidang Kemuncak Pemimpin Ekonomi Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) 2025 yang akan berlangsung di Gyeongju, Korea Selatan pada 31 Okt hingga 1 Nov 2025.

Penganjuran ini merupakan kali ketiga Korea Selatan menjadi tuan rumah selepas 1991 dan 2005.

“Malaysia menyokong kepimpinan Korea dalam persidangan ini bagi mengemudi agenda serantau yang progresif dan inklusif,” kata Perdana Menteri.

Anwar turut menyampaikan jemputan kepada Presiden Korea Selatan Lee Jae-myung untuk menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang dijadual berlangsung di Kuala Lumpur pada Oktober ini.

“Malaysia kekal komited memperkukuh kerjasama dengan Korea demi keamanan dan kemakmuran serantau yang berkekalan,” kata beliau.

-- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619