AGENDA

Polis mohon perintah reman, tahan pemandu bas selepas keluar hospital

10 Jun 2025, 1:14 PM
Polis mohon perintah reman, tahan pemandu bas selepas keluar hospital

IPOH, 10 JUN: Polis akan memohon perintah reman terhadap pemandu bas yang terlibat dalam kemalangan ngeri mengorban nyawa 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) awal pagi semalam bagi membantu siasatan, apabila pemandu itu dibenarkan keluar dari hospital nanti.

Ketua Polis Perak Datuk Noor Hisam Nordin berkata ketika ini pemandu berumur 40 tahun itu masih dirawat, dan sampel darah serta ujian air kencing lelaki tersebut sudahpun dihantar ke Jabatan Kimia untuk tindakan lanjut.

"Sekarang ini dia (pemandu bas) masih menerima rawatan di Hospital Taiping, jadi kita tunggu dulu. Kalau dia sudah discharge, baru kita nak reman dia," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Dalam kejadian awal pagi semalam 15 penuntut UPSI maut apabila bas yang dinaiki mereka terbalik dalam kemalangan di KM53, Jalan Raya Timur-Barat (JRTB), berhampiran Tasik Banding, Gerik.

Bas yang disewa khas oleh pelajar itu berlepas dari Jertih, Terengganu pada 9 malam Ahad dan sedang dalam perjalanan ke kampus universiti berkenaan di Tanjung Malim, Perak sebelum terlibat dalam kemalangan tersebut.

Noor Hisam berkata 13 jenazah yang dibedah siasat di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh semalam kesemuanya tiba di Masjid Hadhari, Jertih, Terengganu kira-kira 3 pagi tadi.

-- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619