AGENDA

Nahas UPSI: Lesen pemandu bas digantung serta-merta

16 Jun 2025, 10:41 PM
Nahas UPSI: Lesen pemandu bas digantung serta-merta

PUTRAJAYA, 16 JUN: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menggantung serta-merta lesen memandu vokasional (PSV) milik pemandu bas yang terlibat dalam kemalangan membabitkan penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), baru-baru ini.

Ketua Pengarah JPJ Datuk Aedy Fadly Ramli berkata tindakan itu diambil mengikut peruntukan Seksyen 56 (4) Akta Pengangkutan Jalan 1987 susulan siasatan yang sedang dijalankan.

"JPJ turut membuka kertas siasatan terhadap pemilik syarikat pengendali kenderaan terbabit, termasuk syarikat yang menerima pajakan permit operasi bas berkenaan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata sebagai langkah proaktif, penggantungan lesen itu kekal berkuat kuasa sehingga siasatan selesai dijalankan demi menjaga kepentingan awam dan memastikan keselamatan pengguna jalan raya.

Aedy Fadly turut menegaskan komitmen JPJ untuk tidak berkompromi terhadap sebarang pelanggaran undang-undang yang boleh membahayakan nyawa pengguna jalan raya.

Pada awal pagi 9 Jun, 15 penuntut UPSI maut apabila bas sewa khas yang membawa mereka dari Jertih, Terengganu ke kampus utama Tanjung Malim, Perak terlibat dalam kemalangan dengan sebuah Perodua Alza di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) di Gerik.

Kemalangan itu turut mengakibatkan 33 lagi cedera termasuk pemandu dan kelindan bas serta pemandu dan tiga penumpang kenderaan pelbagai guna (MPV) itu.

-- BERNAMA

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619