BERITA UTAMA

Raja Muda mahu KSSA jadi bandar mampan lengkap sistem tebatan bah

16 Mei 2025, 6:00 AM
Raja Muda mahu KSSA jadi bandar mampan lengkap sistem tebatan bah
Raja Muda mahu KSSA jadi bandar mampan lengkap sistem tebatan bah
Raja Muda mahu KSSA jadi bandar mampan lengkap sistem tebatan bah

SHAH ALAM, 16 MEI: Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor mahu Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA) menjadi permulaan kepada pembaharuan pembangunan bandar yang lengkap dengan penyelesaian mampan.

Tengku Amir Shah bertitah KSSA bakal dibina menggunakan konsep 'bandar span' khusus bagi menangani risiko banjir, menerusi perancangan integrasi biodiversiti dan pembinaan infrastruktur.

“Ia akan mempunyai sistem tebatan banjir bawah tanah yang canggih dan automatik sepenuhnya di bawah kompleks itu, termasuk kolam tadahan seluas empat hektar untuk mengurus serta mengurangkan banjir.

“Inisiatif itu turut merangkumi penambahbaikan di tebing sungai Sungai Damansara dan pembinaan kolam bagi menyimpan sementara air semasa tempoh hujan lebat dan limpahan air sungai,” titah Baginda.

Tengku Amir menyampaikan titah pada Majlis Penyerahan Surat Setuju Terima bagi Pembangunan KSSA yang turut dihadiri Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari di sini, hari ini.

[caption id="attachment_701326" align="alignnone" width="814"] Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan menyaksikan penyerahan surat setuju terima yang disempurnakan Ketua Pegawai Eksekutif Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (MBI) Dato’ Saipolyazan M. Yusop (dua, kiri) kepada Pengarah Urusan Kumpulan MRCB, Datuk Imran Salim (dua,kanan) ketika majlis Penyerahan Surat Setuju Terima Bagi Pembangunan Kompleks Sukan Shah Alam di Hotel DoubleTree by Hilton, Shah Alam pada 16 Mei 2025. Turut sama Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (kiri) dan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor Dato' Dr. Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin (kanan) FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR[/caption]

Baginda dan Amirudin turut menyaksikan penyerahan surat setuju terima yang disempurnakan Ketua Pegawai Eksekutif Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Dato’ Saipolyazan M. Yusop kepada Pengarah Urusan Kumpulan MRCB, Datuk Imran Salim.

Dalam majlis berkenaan, Baginda juga menyampaikan hasrat untuk melihat Selangor muncul sebagai bandar raya metropolis yang dinamik, dengan kerjasama penuh semua pihak.

Tengku Amir Shah bertitah, peranan penting agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO), sektor korporat dan rakyat Selangor secara keseluruhannya, berupaya mengubah landskap Selangor ke arah lebih maju dan sejahtera.

"Menerusi hubungan rapat beta dan Amirudin, kami komited bekerjasama bagi mengubah Selangor menjadi metropolis dinamik dan moden dengan kemudahan bertaraf tinggi, infrastruktur terkini serta komitmen kukuh terhadap pembangunan lestari.

“Kami berhasrat untuk membentuk sebuah negeri yang bukan sahaja berkembang dari segi ekonomi, tetapi juga memimpin dengan tujuan, seimbang antara inovasi dan terangkum,” titah Baginda.

[caption id="attachment_701328" align="alignnone" width="853"] Paparan digital stadium ketika majlis Penyerahan Surat Setuju Terima Bagi Pembangunan Kompleks Sukan Shah Alam di Hotel DoubleTree by Hilton, Shah Alam pada 16 Mei 2025. FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR[/caption]

Projek pembangunan KSSA membabitkan tiga fasa dijangka siap sepenuhnya menjelang 2029, dengan fasa pertama meliputi proses perobohan.

Fasa kedua diikuti binaan bangunan teater tertutup, ruang niaga, sayap sukan serta sayap belia, yang dijangka bermula pertengahan 2027.

Manakala fasa terakhir melibatkan pembinaan terminal bersepadu dan hotel yang dijangka bermula Januari 2028 hingga Disember 2029.

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619