GOMBAK, 9 MEI: Sebanyak RM50,000 diperuntuk bagi menaik taraf persimpangan di Taman Bersatu dan Jalan RP ke Jalan Rawang (FT01) bertujuan mengurangkan risiko kemalangan akibat pusingan-u haram.
Wakil rakyat Rawang Chua Wei Kiat berkata peruntukan sama turut digunakan bagi membina longkang baharu di hadapan Masjid Nurul Iman, Batu 18, bagi menyelesaikan isu takungan air ketika hujan.
[caption id="attachment_700270" align="aligncenter" width="768"] Ahli Dewan Negeri Rawang Chua Wei Kiat ketika sidang media mengenai kerja-kerja meningkatkan keselamatan dan menyelesaikan banjir kilat di Jalan FT01, Rawang, Gombak pada 9 Mei 2025. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR[/caption]
“Bagi dua persimpangan itu, sering berlaku kemalangan kerana pengguna jalan raya melakukan pusingan-u haram. Oleh itu kita memohon kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) Disember tahun lalu.
“Hasil aduan, mereka memasang tiang fleksibel (flexible poles), papan tanda larangan pusingan-u bagi elak pengguna melanggar peraturan dan kurangkan kemalangan.
“Selain itu, dana di bawah peruntukan Ahli Parlimen Selayang William Leong, sebuah longkang untuk aliran air lebih lancar turut dilaksana bagi elak air bertakung ketika hujan yang membahayakan pengguna,” katanya dalam sidang media khas hari ini.
[caption id="attachment_700272" align="alignnone" width="813"] Keadaan trafik ketika tinjauan di Jalan FT01, Rawang, Gombak pada 9 Mei 2025. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR[/caption]
Ditemui di Taman Bersatu di sini, Wei Kiat memaklumkan pihaknya komited menyelesaikan isu berkaitan naik taraf jalan raya, terutama di kawasan persimpangan berisiko tinggi yang boleh mengundang kemalangan maut.
“Setakat ini, kita dapati ada sembilan kawasan dari Rawang ke Batu Arang yang sering berlaku kemalangan disebabkan pusingan-u haram dan berjaya selesaikan hampir 80 peratus kerja naik taraf infrastruktur,” katanya.
Sementara itu, Penolong Jurutera Awam JKR Gombak Mohd Azmi Saad berkata pihaknya sentiasa mengalu-alukan maklumat atau aduan daripada wakil rakyat bagi menambah baik infrastruktur, khususnya di jalan persekutuan.
[caption id="attachment_700269" align="aligncenter" width="814"] Penolong Jurutera Awam JKR Gombak Mohd Azmi Saad ketika sidang media mengenai kerja-kerja meningkatkan keselamatan dan menyelesaikan banjir kilat di Jalan FT01, Rawang, Gombak pada 9 Mei 2025. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR[/caption]
“Idea-idea atau aduan diterima memang membantu dalam kita memberi perkhidmatan terbaik sekali gus menjamin keselamatan pengguna jalan raya.
“Selepas ini, beberapa jalan raya juga akan dinaik taraf infrastrukturnya yang kini sedang dalam proses permohonan,” katanya.