SHAH ALAM, 7 MEI: Malaysia menduduki tempat pertama dunia dalam penilaian Open Data Inventory (ODIN) 2024/25 mengatasi 198 negara lain termasuk Singapura, Finland, Denmark, dan Poland.
Ketua Perangkawan Malaysia Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata pencapaian itu merupakan peningkatan membanggakan berbanding kedudukan ke-67 dalam penilaian sama tahun lalu.
“Kejayaan kita diumumkan pada 29 April lalu, kita lebih depan dari negara-negara maju. Satu pencapaian hasil komitmen bersama termasuk sokongan daripada kementerian dan agensi.
“Dengan adanya kemudahan data ini, bukan sahaja untuk pembuat polisi (kerajaan) merancang dasar tetapi membantu pembuat dasar membuat keputusan yang lebih tepat selain boleh digunakan oleh orang awam,” katanya kepada Media Selangor.
[caption id="attachment_699999" align="aligncenter" width="653"] Ketua Perangkawan Malaysia Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin membuat pembentangan dalam program Sidang Diskusi Madani berkenaan Pemerkasaan Wanita & Jurang Gender di UNISEL Shah Alam Seksyen 7 Shah Alam Selangor pada 7 May 2025. Foto HARUN TAJUDIN / MEDIA SELANGOR.[/caption]
Terdahulu beliau membentangkan data pada program Sidang Diskusi Madani: Pemerkasaan Wanita dan Jurang Jantina di Malaysia Berdasarkan Indeks Jurang Gender Malaysia (MGGI) di Universiti Selangor (Unisel), di sini, hari ini.
Program anjuran Institut Darul Ehsan (IDE) dan Unisel itu turut dihadiri Naib Canselor dan Presiden Unisel Dato’ Prof Emeritus Dr Mohammad Redzuan Othman.
Kejayaan yang diikitiraf oleh Open Data Watch (ODW) - organisasi antarabangsa berpangkalan di Amerika Syarikat - membabitkan penilaian yang menumpukan aspek keterbukaan dan liputan data statistik rasmi.