AGENDA

Bilangan penganggur terus turun, cerminan ekonomi makin stabil

9 Feb 2024, 2:30 PM
Bilangan penganggur terus turun, cerminan ekonomi makin stabil

PUTRAJAYA, 9 FEB: Bilangan penganggur terus menurun kepada 567,800 orang pada Disember daripada 569,000 orang pada November 2023, dengan kadar pengangguran 3.3 peratus, menurut Statistik Tenaga Buruh Malaysia, Disember, dan Suku Tahun Keempat 2023 yang diterbitkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata ia mencerminkan asas ekonomi negara yang stabil, didorong oleh pertumbuhan berterusan dalam aktiviti ekonomi dan sosial.

“Bilangan tenaga buruh kekal meningkat pada Disember 2023, dengan pertambahan sebanyak 0.1 peratus bulan ke bulan kepada 17.03 juta orang daripada 17 juta orang pada November, merekodkan kadar penyertaan tenaga buruh (KPTB) yang lebih tinggi iaitu pada 70.2 peratus (November 2023: 70.1 peratus),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata bilangan penduduk bekerja pada Disember meningkat sebanyak 0.2 peratus merekodkan 16.46 juta orang berbanding 16.43 juta orang pada November, sementara bilangan penganggur menurun sebanyak 0.2 peratus kepada 567,800 orang.

Jumlah penduduk bekerja pada Disember 2023, katanya sebanyak 75.2 peratus daripadanya adalah terdiri daripada kategori pekerja, meningkat sebanyak 0.1 peratus kepada 12.38 juta orang.

“Begitu juga, trend peningkatan turut dapat dilihat dalam kategori bekerja sendiri, yang meningkat sebanyak 0.3 peratus kepada 3 juta orang,” katanya.

Sektor perkhidmatan terus mencatatkan pertambahan dalam bilangan penduduk bekerja terutama dalam aktiviti maklumat dan komunikasi, perkhidmatan makanan dan minuman serta pengangkutan dan penyimpanan.

Trend yang sama juga dilihat dalam bilangan penduduk bekerja bagi sektor pembuatan, pembinaan serta perlombongan dan pengkuarian, manakala bilangan penduduk bekerja dalam sektor pertanian terus menurun.

Beliau turut menyatakan bahawa pada Disember 2023, kadar pengangguran bagi belia berumur 15 hingga 24 tahun kekal pada 10.6 peratus, dengan 307,200 penganggur belia (November 2023: 10.6 peratus; 308,500 orang).

“Kadar pengangguran dalam kalangan belia berumur 15 hingga 30 tahun turun sebanyak 0.1 peratus kepada 6.4 peratus, mencatatkan 432,100 penganggur belia (November 2023: 6.5 peratus; 432,000 orang),” katanya.

Dari segi kadar pengangguran dan KPTB mengikut negeri, Putrajaya dilaporkan dengan kadar pengangguran terendah iaitu pada 1.5 peratus pada suku tahun keempat 2023 berbanding semua negeri, diikuti oleh Perlis dan Pulau Pinang pada 2 peratus.

Sejajar dengan prospek ekonomi Malaysia yang lebih baik pada 2024, katanya disokong oleh peningkatan pelaburan langsung asing (FDI), pelancongan yang semakin meningkat dan perbelanjaan infrastruktur yang lebih tinggi, pasaran buruh negara akan turut mendapat impak positif.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619