AGENDA

Pelancongan domestik naik 20 peratus suku kedua tahun ini, rekod 54.5 juta pelawat

15 Sep 2023, 10:46 AM
Pelancongan domestik naik 20 peratus suku kedua tahun ini, rekod 54.5 juta pelawat
Pelancongan domestik naik 20 peratus suku kedua tahun ini, rekod 54.5 juta pelawat

PUTRAJAYA, 15 SEPT: Pelancongan domestik mengalami lonjakan 20 peratus pada suku kedua 2023 dengan merekodkan 54.5 juta pelawat domestik berbanding tempoh sama pada tahun lepas, menurut laporan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dalam Survei Pelancongan Domestik Malaysia (DTS) 2023 Mengikut Negeri hari ini.

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin dalam kenyataan berkata pelawat domestik meningkat 12.2 peratus berbanding suku pertama 2023.

Beliau berkata perbelanjaan pelancongan domestik bagi suku kedua 2023 merekodkan RM21.9 bilion, meningkat 23.9 peratus tahun ke tahun dan perbandingan suku tahun meningkat 13.9 peratus.

Bagi 2022, jumlah perbelanjaan pelancongan merekodkan RM64.1 bilion.

"Secara keseluruhannya, prestasi pelancongan domestik Malaysia pada 2022 mencatatkan pertumbuhan positif. Ketibaan pelawat domestik merekodkan 171.6 juta pelawat berbanding 66.0 juta pada tahun sebelumnya, meningkat 160.1 peratus,” katanya.

Mohd Uzir berkata terimaan pelancongan domestik pada 2022 meningkat 248.1 peratus merekodkan RM64.1 bilion berbanding RM18.4 bilion pada 2021, pertumbuhan positif selepas penularan pandemik Covid-19.

[caption id="attachment_506833" align="aligncenter" width="760"] Selangor Fruit Valley di Bestari Jaya menyediakan pelbagai daya tarikan yang membolehkan pelajar melakukan aktiviti pertanian dan merasai pelbagai jenis buah-buahan dan sayuran tempatan. Foto ihsan Tourism Selangor[/caption]

Dari segi volum dan jumlah terimaan pada 2022, beliau berkata Selangor merekodkan terimaan pelancong domestik tertinggi dengan RM8.73 bilion, diikuti Kuala Lumpur dan Sarawak yang masing-masing menerima RM7.73 bilion dan RM5.43 bilion.

“Melawat saudara dan rakan-rakan adalah tujuan utama perjalanan bermalam domestik untuk semua negeri kecuali Pulau Pinang dan Wilayah Persekutuan Labuan,” katanya.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619