AGENDA

Tragedi kemalangan maut: Jenazah tiga beranak selamat dikebumikan

28 Mac 2025, 12:35 PM
Tragedi kemalangan maut: Jenazah tiga beranak selamat dikebumikan

KOTA TINGGI, 28 MAC: Jenazah tiga beranak yang maut dalam nahas jalan raya membabitkan empat kenderaan di KM58.1 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), Kluang malam tadi selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Makam Dagang, Kampung Makam di sini hari ini.

Jenazah Nasaarudin Pardi, 36, isterinya Siti Khazira Bani, 35, dan anak mereka yang berusia dua tahun selamat dikebumikan dalam satu liang lahad pada 6.20 petang.

Terdahulu, ketiga-tiga jenazah disembahyangkan di Masjid Al Muttaqin Taman Kota Jaya dan diberi penghormatan terakhir oleh ahli keluarga serta kenalan.

Adik Siti Khazira, Taufiq Bani, 33, ketika ditemui di Unit Perubatan Forensik, Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom (HEBHK), Kluang hari ini berkata Allahyarham dan Nasaarudin memilih baju raya sedondon berwarna hitam untuk dipakai mereka sekeluarga bagi menyambut Aidilfitri.

"Tahun ini kakak beritahu dia akan memakai pakaian hitam, saya berasa pelik kerana kakak tidak pernah memakai pakaian berwarna hitam untuk hari raya. Dia hanya maklumkan perkara ini kepada saya. Baru-baru ni, dia kerap berkongsi gambarnya sekeluarga di media sosial terutama Instagram.

"Kami sekeluarga sebenarnya semasa kejadian menunggu kepulangan kakak untuk sahur bersama hari ini tetapi sehingga pukul 2.30 pagi, kakak masih belum sampai ke rumah kami di Kota Tinggi," katanya.

Taufiq berkata selepas dimaklumkan pada kira-kira 3 pagi bahawa kakaknya sekeluarga terlibat dalam kemalangan, dia dan beberapa ahli keluarga bergegas ke HEBHK untuk mengetahui lebih lanjut keadaan mereka.

"Dua anak kakak yang berusia sembilan dan empat tahun masih dirawat di HEBHK dan mereka akan dipindahkan ke hospital di Kota Tinggi untuk memudahkan urusan keluarga," katanya.

Bedah siasat ke atas jenazah Nasaarudin dan anaknya dilakukan di HEBHK manakala bedah siasat ke atas jenazah Siti Khazira dilakukan di Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim, Kulai.

-- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619