AGENDA

Dua maut kemalangan kereta, empat motosikal

23 Feb 2025, 8:08 AM
Dua maut kemalangan kereta, empat motosikal

KLUANG, 23 FEB: Dua penunggang motosikal maut dalam kemalangan melibatkan sebuah kereta dan empat motosikal di Kilometer 84, Jalan Kota Tinggi-Kluang di sini, tengah malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kluang ACP Bahrin Mohd Noh berkata dalam kejadian kira-kira 12.45 tengah malam itu, mangsa Arif Zaidi Zainurrizam, 20, dan Nur Azreen Najwa Roslan, 25, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat cedera parah pada bahagian kepala dan badan.

Beliau berkata siasatan awal mendapati kereta Nissan Serena dipandu lelaki berusia 48 tahun dari arah Kluang menghala ke Kota Tinggi, manakala empat penunggang motosikal terlibat pula dari arah Kota Tinggi menghala ke Kluang.

“Setibanya di lokasi kejadian, sebuah motosikal dipercayai telah masuk ke arah bertentangan dan bertembung dengan kereta Nissan Serena, manakala sebuah lagi motosikal pula telah digesel dengan sebuah motosikal dari arah yang sama, menyebabkannya hilang kawalan lalu terbabas di lorong kanan menghala ke Kluang.

“Akibat kemalangan itu, dua mangsa meninggal dunia di tempat kejadian sementara siasatan lanjut masih diteruskan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bahrin berkata dua lagi penunggang motosikal yang merupakan remaja berusia 17 dan 16 tahun hanya cedera ringan, sementara pemandu kereta tidak mengalami sebarang kecederaan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

-- BERNAMA

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619