AGENDA

Polis tahan penceramah bebas muat naik hantaran berunsur hasutan

27 Mac 2025, 2:27 PM
Polis tahan penceramah bebas muat naik hantaran berunsur hasutan

KUALA LUMPUR, 27 MAC: Seorang penceramah bebas ditahan polis hari ini susulan satu hantaran di Facebook yang didakwa mengandungi unsur hasutan yang boleh menggugat ketenteraman awam.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata individu yang berumur 41 tahun itu ditahan di Taman Melati Indah, Beseri, Kangar, Perlis dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Besar untuk direman di Mahkamah Kangar esok.

Beliau berkata penceramah bebas itu ditahan berikutan laporan polis yang diterima semalam di IPD Dang Wangi mengenai hantaran yang dibuat penceramah itu berhubung penempatan semula tapak baharu Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman.

“Pengadu mendapati komen yang dibuat di media sosial mengenai hasil rundingan berkenaan penempatan semula tapak baru kuil tersebut.

“Pengadu meminta polis menyiasat penceramah bebas itu di atas komen yang mengandungi unsur hasutan dan mencemarkan agama Hindu,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata ketika soal siasat dijalankan ke atas individu itu, sebanyak 24 soalan telah ditanya dan orang yang disyaki (OYDS) menjawab semua soalan yang dikemukakan.

“Polis merampas sebuah telefon bimbit jenis Vivo bagi membantu siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya.

Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa mengumumkan tapak baharu kuil berkenaan yang berkeluasan 4,000 kaki persegi terletak kira-kira 50 meter dari lokasi asalnya.

Khamis lepas, media melaporkan proses perbincangan mengenai pemindahan Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman yang terletak di atas tanah milik Jakel Group berjalan dengan harmoni antara pihak syarikat, pengurusan kuil dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.

--BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619