SHAH ALAM, 4 MAC: Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri Rawang memperuntuk RM40,000 kepada masjid dan surau bagi meneruskan program Ihya’ Ramadan tahun ini.
Wakil rakyatnya Chua Wei Kiat berkata dana yang diperuntuk setiap tahun itu bertujuan membantu institusi agama berkenaan menyemarakkan lagi aktiviti sepanjang Ramadan.
“Tahun ini kita peruntuk dana RM40,000 kepada masjid dan surau yang mula diagihkan hari ini bagi membolehkan pengurusan laksana program ‘Ihya Ramadan.
“Kita buat agihan awal Ramadan bagi membantu meringankan beban masjid dan surau terutama dalam menyedia makanan dan menampung kos utiliti yang meningkat,” katanya kepada SelangorKini.
Tambahnya, selain peruntukan daripada DUN Rawang, pihaknya juga bekerjasama dengan ahli parlimen dan ahli majlis supaya lebih banyak program sempena Ramadan dapat dilaksanakan.
“Bukan itu sahaja, kita juga akan edar kurma kepada umat Islam sepanjang Ramadan. Inisiatif ini diambil kami selaku wakil rakyat dalam menyantuni masyarakat setempat,” katanya.