Oleh Yasmin Ramlan
SUBANG JAYA, 10 DIS: Selangor menumpukan prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) untuk mencapai keseimbangan antara pertumbuhan pesat dan kelestarian, kata EXCO kesihatan awam.
Menurut Jamaliah Jamaluddin, prinsip itu digabungkan dalam semua inisiatif pembangunan, sebagai sebahagian komitmennya menangani cabaran alam sekitar dan mempromosikan kemajuan lestari.
“Selangor komited memimpin usaha pembangunan lestari dengan tumpuan untuk memastikan persekitaran yang bersih dan berdaya tahan demi kesejahteraan generasi akan datang.
“Untuk mencapai matlamat ini, usaha berterusan diperlukan bagi mengurangkan jejak karbon, memastikan bekalan air yang stabil dan mengamalkan pengurusan sisa yang mampan,” katanya sempena Forum Kepimpinan Kelestarian di sini hari ini.
Beliau berkata negeri menyokong Rancangan Malaysia ke-12 dengan sasaran pengurangan pelepasan gas rumah hijau 35 peratus menjelang 2025 seperti digariskan dalam Rancangan Selangor Pertama.
Jamaliah turut menyatakan usaha lain termasuk memastikan bekalan air bersih 24 jam dan mencapai kadar kitar semula sisa sebanyak 15 peratus.
“Dalam landskap dinamik Selangor, Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI memainkan peranan penting dalam memacu pembangunan ekonomi transformasi di negeri ini.
“Dengan memberi tumpuan kepada perancangan strategik, pemudahcaran pelaburan, dan kelestarian, MBI berhasrat untuk meletakkan negeri ini sebagai hab ekonomi yang pesat berkembang,” katanya.
Jamaliah turut menyatakan MBI berperanan penting dalam penubuhan Pusat Adaptasi Perubahan Iklim Selangor untuk membangunkan langkah bersesuaian bagi menerajui inisiatif hijau di seluruh negeri.