AGENDA

Tingkat integriti, JPJ hasrat lengkapkan penguat kuasa dengan kamera badan

23 Nov 2024, 1:54 AM
Tingkat integriti, JPJ hasrat lengkapkan penguat kuasa dengan kamera badan

SEREMBAN, 23 NOV: Penggunaan kamera badan bagi anggota penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sangat diperlukan bagi meningkatkan integriti dalam kalangan anggota bertugas dan orang awam.

Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Operasi) JPJ Datuk Jazmanie Shafawi berkata penggunaan kamera itu diyakini dapat meningkatkan integriti pasukan berkenaan selain mengelakkan salah tafsir yang sering berlaku dalam kalangan anggota penguat kuasa semasa bertugas.

Bagaimanapun katanya kajian menyeluruh mengenai perkara itu masih dilakukan sebelum dapat dilaksanakan.

"Sememangnya di peringkat JPJ dan kementerian melihat memang ada keperluan anggota penguat kuasa kita menggunakan kamera badan ini tetapi cuma sekarang ini ia masih lagi di peringkat kajian awal.

"Kita juga telah menjalankan satu siri ujian bukti konsep (POC) mengenai perkara ini sebelum ia betul-betul dapat dilaksanakan," katanya ditemui pemberita selepas Ops Bersepadu JPJ Negeri Sembilan yang turut dihadiri Pengarah JPJ negeri Hanif Yusabra Yusuf di Plaza Tol Senawang, di sini malam tadi.

Media sebelum ini melaporkan Menteri Pengangkutan Anthony Loke bersetuju kamera badan digunakan oleh agensi penguatkuasaan di bawah Kementerian Pengangkutan termasuk JPJ bagi meningkatkan nilai integriti agensi penguatkuasaan di mata rakyat selain melindungi pegawai daripada menjadi mangsa fitnah ketika menjalankan tugas.

Sementara itu, Jazmanie berkata sebanyak 51,421 saman atas pelbagai kesalahan dikeluarkan JPJ kepada pengguna motosikal dalam tempoh 22 hari pelaksanaan Ops Khas Motosikal bermula awal bulan ini.

Beliau berkata sejumlah 243,240 motosikal diperiksa dan daripada jumlah tersebut sebanyak 36,673 motosikal diambil tindakan atas pelbagai kesalahan manakala 1,812 disita di seluruh negara.

"Sepanjang tempoh operasi itu, lima kesalahan paling tinggi telah dikesan iaitu tiada lesen memandu kompeten (CDL) sebanyak 19,080 (kes) diikuti Lesen Kenderaan Motor tamat tempoh (14,163) dan tiada insurans (12,794). Selain itu nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi sebanyak 4,040 kes dan CDL tamat tempoh (1,344)," katanya.

Jazmanie berkata tindakan kompaun turut dikenakan kepada 1,299 penunggang motosikal warga asing dan 146 individu bawah umur manakala 10 daripada 239 penunggang yang membuat ujian saringan air kencing didapati positif dadah.

-- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619