AGENDA

JPJ keluar 61,317 notis kesalahan sepanjang operasi khas raya 2025

9 Apr 2025, 4:31 AM
JPJ keluar 61,317 notis kesalahan sepanjang operasi khas raya 2025

SHAH ALAM, 9 APRIL: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengeluarkan 61,317 notis pelbagai kesalahan sepanjang Operasi Khas Hari Raya Aidilfitri (HRA) tahun ini di seluruh negara bermula 24 Mac hingga tengah malam tadi.

Ketua Pengarah JPJ Datuk Aedy Fadly Ramli berkata jumlah itu hasil pemeriksaan ke atas 287,802 kenderaan di 353 kawasan ‘hotspot’ seluruh negara dengan 511 kenderaan disita.

Beliau berkata notis melibatkan kenderaan dan pemandu terbabit dikeluarkan mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Anta 333).

“Sepanjang tempoh operasi ini JPJ juga menerima 6,687 aduan berbentuk gambar dan video berkaitan kesalahan lalu lintas menerusi Aplikasi MyJPJ.

“Tiga kesalahan utama yang tertinggi adalah memotong barisan (1,766), memandu di lorong kecemasan (1,625) dan gagal mematuhi lampu isyarat merah (843).

“Kita sudah mengambil tindakan hasil aduan berkenaan, termasuk mengeluarkan Notis 114 terhadap pemilik kenderaan yang melakukan kesalahan,” katanya pada sidang media penutup Operasi Khas HRA 2025 di Plaza Tol Kota Kemuning Lebuhraya Shah Alam (KESAS) arah Shah Alam di sini malam tadi.

Dalam pada itu, Aedy Fadly berkata JPJ turut melakukan pemeriksaan ke atas kenderaan pengangkutan awam meliputi 12,732 bas di 54 depoh serta 28 terminal utama seluruh negara.

Beliau berkata sebanyak 1,294 notis dikeluarkan iaitu 366 daripadanya melalui penguatkuasaan secara penyamaran di dalam bas.

“Melalui penyamaran ini, kita mengesan pelbagai kesalahan dilakukan pemandu, antaranya menggunakan telefon ketika memandu, tiada pemandu kedua melibatkan jarak perjalanan empat jam ke atas dan menggunakan laluan kanan berterusan," katanya.

Aedy Fadly berkata JPJ turut mengeluarkan 163 notis dan menahan 124 kenderaan menerusi Penguatkuasaan Larangan Pemanduan Kenderaan Barangan (Road-Ban) sepanjang empat hari pelaksanaan pada 29 dan 30 Mac serta 5 dan 6 April di bawah Seksyen 59 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Semua 124 kenderaan ini tidak boleh berada di atas jalan raya sehingga tempoh Road Ban selesai, iaitu selama 48 jam … ,” katanya.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619