ad
BERITA UTAMA

Selangor kukuh pengawasan, beri taklimat berkala kes cacar monyet

18 Sep 2024, 1:40 PM
Selangor kukuh pengawasan, beri taklimat berkala kes cacar monyet
Selangor kukuh pengawasan, beri taklimat berkala kes cacar monyet

SHAH ALAM, 18 SEPT: Selangor meningkatkan pengesanan awal kes cacar monyet atau mpox melalui pengukuhan sistem pengawasan di kemudahan kesihatan negeri bagi menangani penularan penyakit itu.

EXCO kesihatan awam berkata langkah lain yang diambil termasuk memperkukuh pengurusan kes melalui taklimat berkala dan program pendidikan perubatan berterusan (CME) di setiap daerah.

Menurut Jamaliah Jamaluddin, pentadbiran negeri turut menyediakan pendidikan kesihatan secara berterusan kepada masyarakat untuk meningkatkan kesedaran dan langkah pencegahan.

"EXCO kesihatan awam bekerjasama erat dengan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) bagi mengemas kini situasi terkini mpox dari semasa ke semasa serta merangka tindakan proaktif dan langkah pencegahan untuk mengawal penyebaran kes jika diperlukan," katanya.

Dalam kenyataan hari ini, beliau turut menasihatkan individu berisiko dan bergejala seperti ruam dan lepuh pada kulit tidak menangguh pemeriksaan di kemudahan kesihatan terdekat.

[caption id="attachment_515003" align="aligncenter" width="812"] Pengembara dari negara endemik cacar monyet akan menerima amaran kesihatan menerusi MySejahtera selama 21 hari untuk pemantauan kendiri. Foto BERNAMA[/caption]

Katanya, orang ramai juga perlu mengelak bersentuhan secara langsung dengan individu lain jika tiada keperluan, terutama yang disyaki atau disahkan dijangkiti mpox.

"Kerajaan Selangor menasihati semua individu yang merancang untuk melawat negara yang melaporkan kes mpox agar sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga dan mengamalkan kawalan kesihatan kendiri.

"Selain itu, semua pengembara yang kembali dari negara-negara berkenaan dinasihatkan untuk memantau kesihatan diri selama 21 hari selepas tiba di Malaysia," kata Jamaliah.

Tambahnya, pentabiran negeri akan terus bekerjasama dengan JKNS untuk memantau situasi mpox di dalam dan luar negara, dan mengumumkan perkembangan terkini dari semasa ke semasa.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesan satu kes baharu cacar monyet atau mpox clade II membabitkan seorang lelaki warga tempatan, kelmarin.

Sejak 26 Julai 2023, semua 10 kes di Malaysia daripada clade II sahaja.

Pada 14 Ogos, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytiharkan mpox sebagai kecemasan kesihatan awam global yang menjadi kebimbangan antarabangsa.

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.