AGENDA

PRK DUN Mahkota: Proses penamaan calon bermula 9 pagi

14 Sep 2024, 12:29 AM
PRK DUN Mahkota: Proses penamaan calon bermula 9 pagi

KLUANG, 14 SEPT: Gelanggang Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota membuka tirainya hari ini, dengan berlangsungnya proses penamaan calon di Dewan Tunku Ibrahim Ismail di sini.

Proses penamaan calon bermula 9 pagi dengan mereka yang berhasrat bertanding mempunyai masa sejam untuk mengemukakan borang pencalonan, sebelum nama calon yang layak bertanding diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya Azurawati Wahid, dijangka 11 pagi.

Selepas itu, calon terlibat mempunyai tempoh 14 hari untuk berkempen bagi meraih sokongan, iaitu sehingga 11.59 malam 27 September ini, diikuti hari pengundian pada 28 September manakala undi awal ditetapkan pada 24 September.

DUN Mahkota merupakan satu daripada dua DUN di bawah Parlimen Kluang.

Barisan Nasional (BN) mengumumkan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kluang Syed Hussien Syed Abdullah, 40, sebagai wakil kerajaan Perpaduan pada PRK itu, manakala Perikatan Nasional (PN) memilih bekas pemain bola sepak Johor FA Mohamad Haizan Jaafar, 61.

PRK DUN Mahkota diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 63, pada 2 Ogos, ketika menerima rawatan di Hospital Enche' Besar Hajjah Khalsom di sini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan 66,318 pengundi berdaftar layak menunaikan tanggungjawab pada PRK itu, terdiri daripada 61,397 pengundi biasa, 4,510 tentera serta pasangan, 401 polis dan 10 orang PTH (pengundi tidak hadir) luar negara.

Sehubungan itu, SPR membuka tiga pusat mengundi dengan 11 saluran bagi pengundian awal, manakala 20 pusat mengundi dengan 109 saluran akan dibuka pada hari pengundian, dengan jumlah petugas terlibat pada PRK itu 1,126 orang.

Pada pilihan raya negeri sebelum ini, Sharifah Azizah menang dengan majoriti 5,166 undi dalam persaingan empat penjuru, melibatkan calon Pakatan Harapan (PH), PN dan Warisan.

Ini adalah PRK ke-10 selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 yang sebelum ini menyaksikan PRK Parlimen Kuala Terengganu (Terengganu); PRK DUN Simpang Jeram; PRK Parlimen Pulai (Johor); PRK DUN Pelangai (Pahang); PRK DUN Jepak (Sarawak); PRK Parlimen Kemaman (Terengganu); PRK DUN Kuala Kubu Baharu (Selangor); PRK DUN Sg Bakap (Pulau Pinang) dan PRK DUN Nenggiri (Kelantan).

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619