AGENDA

PRK DUN Nenggiri buka tirai hari ini, penamaan calon bermula 9 pagi

3 Ogos 2024, 12:52 AM
PRK DUN Nenggiri buka tirai hari ini, penamaan calon bermula 9 pagi
PRK DUN Nenggiri buka tirai hari ini, penamaan calon bermula 9 pagi

GUA MUSANG, 3 OGOS: Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri membuka tirainya hari ini dengan penamaan calon berlangsung di Dewan Perdana, Kompleks Perdana, Majlis Daerah Gua Musang di sini.

Parti dan individu bertanding akan diberikan masa sejam bermula 9 hingga 10 pagi untuk mengemukakan borang pencalonan, sebelum Pegawai Pengurus Pilihan Raya Nik Raisnan Daud mengumumkan nama calon layak bertanding.

Seramai 579 pegawai dan anggota polis dari seluruh kontinjen Kelantan akan digerakkan bagi memastikan proses penamaan itu berjalan lancar.

Mengikut laman sesawang Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), cuaca pada sebelah pagi diramal cerah, namun ribut petir dijangka berlaku pada sebelah petang.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari mengundi 17 Ogos ini dengan kempen berlangsung 14 hari bermula hari ini hingga 11.59 malam, 16 Ogos.

Bagaimanapun, hari mengundi awal yang pada mulanya ditetapkan 13 Ogos tidak diadakan selepas kesemua 14 pengundi yang terlibat memilih mengundi secara pos.

Barisan Nasional (BN) menamakan Ketua Pemuda Umno Kelantan Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani, 38, sebagai calon mewakili Kerajaan Perpaduan manakala Perikatan Nasional (PN) menamakan Mohd Rizwadi Ismail, 41, yang juga bekas anggota Tentera Laut Diraja Malaysia.

PRK DUN Nenggiri diadakan susulan kekosongan kerusi berkenaan yang diumumkan Speaker DUN Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah pada 19 Jun lalu, selepas bekas Ahli Dewan Undangan Negeri itu Mohd Azizi Abu Naim digugurkan keahlian oleh Bersatu pada 13 Jun lalu.

Berdasarkan Daftar Pemilih Pilihan Raya setakat 18 Jun 2024, 20,259 orang layak menunaikan tanggungjawab masing-masing pada PRK itu melibatkan 20,245 pengundi biasa dan 14 anggota polis.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Kelantan ke-15 Ogos tahun lalu, Mohd Azizi menewaskan calon BN Ab Aziz Yussof dengan majoriti 810 undi.

Ini adalah PRK kesembilan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 yang sebelum ini menyaksikan PRK Parlimen Kuala Terengganu (Terengganu); PRK DUN Simpang Jeram dan PRK Parlimen Pulai (Johor); PRK DUN Pelangai (Pahang); PRK DUN Jepak (Sarawak); PRK Parlimen Kemaman (Terengganu), PRK DUN Kuala Kubu Baharu (Selangor) dan PRK DUN Sungai Bakap (Pulau Pinang).

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619