AGENDA

Ribuan penumpang terkandas di KLIA, nanti jadual semula tiket penerbangan

18 Apr 2024, 7:43 AM
Ribuan penumpang terkandas di KLIA, nanti jadual semula tiket penerbangan
Ribuan penumpang terkandas di KLIA, nanti jadual semula tiket penerbangan

SEPANG, 18 APRIL: Ribuan penumpang beberapa syarikat penerbangan antaranya Malaysia Airlines, AirAsia dan Batik Air untuk perjalanan ke Sabah dan Sarawak terkandas hari ini susulan letusan gunung berapi di Gunung Ruang, Indonesia.

Tinjauan pada 11 pagi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 2 mendapati rata-rata penumpang yang sepatutnya berlepas ke Tawau pada 8.20 pagi diberikan tiket penjadualan semula ke Sandakan pada 1.30 tengah hari ini.

Menurut kenyataan terbaharu AirAsia pada 12 tengah hari tadi, semua penerbangan ke Sabah, Sarawak dan Brunei dibatalkan bermula 10 pagi hari ini sehingga 8 pagi esok.

Antara penerbangan AirAsia yang terjejas ialah ke Kota Kinabalu, Tawau, Sandakan, Bintulu, Kuching dan ke Brunei.

Pembantu tadbir yang bertugas di Kelantan Hazwan Mohd Hanafi, 35, berkata beliau dan 20 ahli keluarganya dijadual berlepas ke Tawau pada 8.20 pagi tadi namun mereka diberikan tiket baharu ke Sandakan.

“Kami sepatutnya menghadiri majlis perkahwinan di Tawau esok dan dapat penerbangan ke Sandakan. Jadi kami rancang ke Tawau melalui jalan darat. Tapi sekarang semua penerbangan batal pula. Belum ada apa-apa perancangan lagi, mungkin kami tunggu di sini (lapangan terbang) sahaja untuk penjadualan semula penerbangan,” katanya.

Seorang lagi penumpang ke Tawau, Norfatihah Aluddin, 15, berkata beliau dan tiga ahli keluarganya masih menunggu perkembangan terkini AirAsia susulan pembatalan penerbangan itu.

[caption id="attachment_638343" align="aligncenter" width="906"] Penumpang AirAsia merakam jadual penerbangan susulan semua penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 2 menuju ke Sabah, Sarawak dan Brunei dibatalkan pada 18 April 2024. Foto BERNAMA[/caption]

“Kami ada majlis di Tawau Sabtu ini, tadi dah dapat penerbangan ke Sandakan dan keluarga rancang naik bas ke Tawau dari Sandakan, tapi batal pula. Kalau boleh bagus jika dapat penerbangan esok pagi,” katanya.

Penumpang ke Kuching yang hanya mahu dikenali sebagai Annie berkata penerbangannya pada 11.35 pagi turut dibatalkan.

“Buat masa ini mereka (AirAsia) minta kami menunggu perkembangan terkini dari semasa ke semasa, jadi kami kena bersabar,” katanya yang berasal dari Kuching.

Sementara itu, penumpang Malaysia Airlines dari KLIA Terminal 1 Mohd Firdaus Mohd Shaari ketika dihubungi berkata beliau dimaklumkan penerbangan MH2710 dari Kuala Lumpur ke Sandakan dibatalkan dan sedang menunggu info lanjut mengenai jadual penerbangan semula.

“Sekarang saya berbaris di kaunter untuk mendapatkan semula bagasi yang kami daftar masuk pagi tadi dan bertanyakan apa pelan kontingensi bagi penumpang terjejas,” katanya yang bertugas sebagai penolong pegawai perubatan di sebuah hospital di Sandakan.

Difahamkan beliau bersama isteri yang juga seorang doktor di hospital sama balik beraya di Semenanjung pada 6 April lalu dan dijadual kembali bertugas 22 April ini.

Selain AirAsia, Malaysia Airlines dan Batik Air juga telah membatalkan penerbangan mereka kerana letusan Gunung Ruang.

Malaysia Airlines membatalkan 19 penerbangan antara Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan destinasi di Sabah dan Sarawak hari ini, 11 penerbangan melibatkan Sabah dan lapan lagi membabitkan Sarawak.

Batik Air pula mengumumkan pembatalan penerbangan untuk laluan Malaysia Timur hari ini membabitkan Kota Kinabalu, Kuching, Tawau dan Sibu.

Menurut Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), letusan gunung berapi di Gunung Ruang di Indonesia mengakibatkan pembentukan awan debu bergerak ke arah Wilayah Maklumat Penerbangan (FIR) Kota Kinabalu yang menimbulkan risiko kepada keselamatan pesawat di ruang udara itu.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619