AGENDA

Pelanggan Malaysia Airlines terjejas ditawar bayaran balik, ubah perjalanan

18 Apr 2024, 2:30 PM
Pelanggan Malaysia Airlines terjejas ditawar bayaran balik, ubah perjalanan

KUALA LUMPUR, 18 APRIL: Malaysia Airlines menawarkan pelanggan yang terjejas perubahan sekali sahaja pada jadual perjalanan mereka secara percuma atau memilih bayaran balik penuh tanpa mengira jenis tambang mereka susulan letusan Gunung Ruang di Indonesia.

Dalam satu kenyataan hari ini, Malaysia Aviation Group (MAG) berkata pelanggan terjejas yang ingin menukar penerbangan atau membatalkan perjalanan mereka boleh berbuat demikian melalui 'My Booking' di laman webnya.

“Sebagai alternatif, pelanggan juga boleh menghubungi sokongan secara Sembang Langsung kami yang tersedia di tapak web atau memanggil Pusat Hubungan Global kami,” katanya.

Pada masa yang sama, penumpang digesa untuk mengemas kini butiran hubungan mereka melalui My Booking di laman web Malaysia Airlines bagi menerima kemas kini dari semasa ke semasa melalui e-mel dan SMS.

Awal hari ini, Malaysia Airlines membatalkan 19 penerbangan antara Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) termasuk beberapa destinasi di Sabah dan Sarawak berikutan letusan gunung berapi Gunung Ruang.

Syarikat penerbangan negara itu memberitahu 11 daripada penerbangan yang dibatalkan adalah dari dan ke Sabah termasuk lapan penerbangan membabitkan Sarawak.

“Ini telah menyebabkan gangguan yang tidak dapat dielakkan dalam jadual penerbangan kami selain merencatkan pelan perjalanan untuk kebanyakan pelanggan kami.

“Walaupun kami memahami kesulitan yang ditimbulkan ini, keselamatan penumpang dan anak kapal kami tetap menjadi keutamaan kami,” katanya.

—BERNAMA

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619