AGENDA

Menteri: 53,000 pemandu bas, teksi nikmati caruman Perkeso mulai bulan depan

23 Feb 2024, 8:13 AM
Menteri: 53,000 pemandu bas, teksi nikmati caruman Perkeso mulai bulan depan

PUTRAJAYA, 23 FEB: Bermula bulan depan, 35,000 pemandu teksi dan 18,000 pemandu bas sekolah dalam negara bakal menikmati caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) yang akan ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke.

Bercakap dalam sidang media selepas Majlis Sua Kasih Madani Kementerian Pengangkutan (MOT) di sini hari ini, Loke berkata 90 peratus caruman itu akan dibiayai menerusi peruntukan Kementerian Kewangan manakala baki 10 peratus dibayar MOT bagi tempoh setahun.

“Kita difahamkan Kementerian Kewangan ada memberikan satu dana kepada Perkeso RM100 juta untuk mencarum sehingga 90 peratus bagi pemandu teksi, e-hailing, p-hailing dan sebagainya.

“Walaupun 90 peratus, tetapi 10 peratus perlu dicarum sendiri oleh pemandu sendiri, jadi untuk golongan ini, kita akan membuat caruman tambahan 10 peratus itu,” katanya.

Beliau berkata usaha berkenaan adalah untuk memberi perlindungan sosial kepada mereka iaitu sekiranya berlaku kemalangan, caruman itu akan membantu mereka dan keluarga.

Mengulas lanjut, Loke berkata beliau sudah berbincang dengan Perkeso berhubung pelaksanaan insiatif terbabit selain meminta Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) menyerahkan senarai pemandu dalam pangkalan data mereka kepada Perkeso untuk disemak silang.

“Kita jangka Mac ini dapat lancarkan inisiatif ini, maksudnya pemandu teksi dan pemandu bas sekolah tidak perlu mencarum satu sen pun untuk setahun, mereka cuma perlu daftar nama mereka.

"Jika sudah daftar sebelum itu, kita akan bagi slip caruman mereka," katanya.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619