AGENDA

Latihan bahasa dan etika untuk pemandu teksi sempena Tahun Melawat Malaysia 2026

27 Jul 2025, 6:20 AM
Latihan bahasa dan etika untuk pemandu teksi sempena Tahun Melawat Malaysia 2026
Latihan bahasa dan etika untuk pemandu teksi sempena Tahun Melawat Malaysia 2026

KUALA LUMPUR, 27 JUL: Kementerian Pengangkutan (MOT) merancang menyediakan latihan asas bahasa dan etika pemanduan kepada pemandu teksi menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026).

Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook berkata langkah itu penting kerana industri teksi bukan sekadar pengangkutan tetapi adalah nadi perkhidmatan rakyat dan wajah pertama negara kepada pelancong.

Beliau berkata pada masa sama, dalam usaha menjaga keselamatan dan kebajikan pemandu teksi, kerajaan turut menanggung sepenuhnya caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) golongan itu melibatkan peruntukan Kementerian Kewangan (MOF) dan MOT.

[caption id="attachment_671867" align="aligncenter" width="754"] Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook. Foto BERNAMA[/caption]

“Tahun lepas, MOF memperuntukkan sebanyak 90 peratus dan MOT tanggung 10 peratus (bagi pihak pemandu). Tahun ini sepatutnya pemandu bayar 30 peratus tetapi saya telah bersetuju untuk MOT tanggung 30 peratus (caruman) itu untuk pemandu-pemandu teksi,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Terdahulu beliau merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Ketiga Gabungan Pertubuhan Teksi, Kereta Sewa, Limosin dan Teksi Lapangan Terbang Se’Malaysia (GTSM) yang memberikan ruang berharga kepadanya untuk mendengar sendiri suara industri.

Loke berkata sebagai Menteri Pengangkutan, beliau percaya hanya melalui kerjasama rapat dengan pemain industri seperti GTSM, reformasi dalam sektor itu akan dapat dilaksanakan dengan penuh bermakna.

“Reformasi ini sedang berjalan dan saya akan terus bersama warga industri untuk memperkukuh sektor pengangkutan awam demi manfaat rakyat,” katanya.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619