AGENDA

Semua agensi berkaitan diarah sekat ajaran Mhd Mohib Khouli Nazem dari tersebar

19 Nov 2023, 7:25 AM
Semua agensi berkaitan diarah sekat ajaran Mhd Mohib Khouli Nazem dari tersebar

KUALA LUMPUR, 19 NOV: Semua agensi di bawah kelolaan Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) termasuk Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan diminta memantau dan menghentikan penyebaran ajaran sesat Mhd Mohib Khouli Nazem.

Menteri berkenaan Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar berkata pejabatnya juga sentiasa berkerjasama rapat dengan polis bagi membendung segala bentuk ajaran sesat yang bergerak secara 'rahsia’.

"Kita hendak pastikan ajaran itu tidak tersebar luas dan menyeleweng akidah masyarakat Islam di negara kita," katanya kepada pemberita selepas menyantuni asnaf pada program Ziarah Asnaf Siri 4 di sekitar Wangsa Maju di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kebimbangan masyarakat mengenai ajaran Mhd Mohib Khouli Nazem yang telah difatwakan sebagai sesat oleh Pejabat Mufti Terengganu pada 16 Nov lepas.

Mohd Na'im turut mengingatkan umat Islam di negara ini untuk merujuk kepada pakar dan mereka yang berpengetahuan serta mematuhi sebarang fatwa berkaitan supaya tidak terikut-ikut dengan ajaran yang mampu memesongkan akidah.

Sementara itu menyentuh usaha menyantuni asnaf, Mohd Na'im berkata masyarakat setempat juga perlu memainkan peranan bagi membantu agensi berkaitan mengenal pasti mereka yang memerlukan bantuan.

"Bila nampak mana-mana jiran atau penduduk yang memerlukan bantuan, ada kalangan asnaf yang sakit, kita harapkan kerjasama masyarakat. Inilah asas kepada pembentukan negara dan masyarakat MADANI yang dihasratkan Perdana Menteri. Masyarakat yang sentiasa cakna melihat kesusahan orang lain dan cepat cari jalan macam mana nak bantu," katanya.

Mohd Nai'im diiringi Pengerusi Majlis Agama Islam Wilayah Perseketuan (MAIWP) Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar bersama Skuad Jejak Asnaf Baitulmal MAIWP hari ini menziarah dan menyampaikan bantuan kepada tiga asnaf yang terlantar sakit.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619