AGENDA

300,000 al-Quran terjemahan diedar ke beberapa negara sejak tahun lepas

5 Apr 2024, 9:34 AM
300,000 al-Quran terjemahan diedar ke beberapa negara sejak tahun lepas
300,000 al-Quran terjemahan diedar ke beberapa negara sejak tahun lepas

KUALA LUMPUR, 5 APRIL: Sebanyak 300,000 naskhah al-Quran terjemahan dalam pelbagai bahasa telah diedarkan ke beberapa negara oleh kerajaan sejak inisiatif mencetak satu juta naskhah kitab suci itu dilaksanakan awal tahun lepas.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar berkata daripada jumlah itu 200,000 naskhah telah dicetak dengan terjemahan bahasa Inggeris, manakala selebihnya dalam bahasa lain seperti bahasa Sweden, Mandarin, Khmer dan Perancis.

[caption id="attachment_563284" align="aligncenter" width="785"] Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Mohd Na'im Mokhtar ketika sidang media prestasi kutipan dan agihan zakat Wilayah Persekutuan di ibu negara pada 26 Januari 2023. Foto Facebook Dato' Setia Dr. Na'im[/caption]

“Setakat ini, Alhamdulillah dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Yayasan Waqaf Malaysia dan Yayasan Restu, 300,000 naskhah terjemahan al-Quran pelbagai bahasa telah dicetak sebagai tindak balas terhadap pembakaran kitab suci umat Islam itu di Sweden tahun lepas.

“Antara negara yang sudah kita hantar terjemahan al-Quran ialah England, Tanzania, Afrika Selatan, Kanada, Australia dan New Zealand,” katanya ketika ditemui selepas menjadi tetamu program Nota Rohani terbitan Bernama Radio di sini hari ini.

Pada Januari 2023, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata Malaysia akan mengeluarkan satu juta al-Quran untuk diedarkan ke seluruh dunia sebagai tindak balas terhadap insiden membakar kitab suci umat Islam itu di Sweden.

Mohd Na’im juga berkata pihaknya menyasarkan keseluruhan baki naskhah yang akan dicetak, diedarkan menjelang hujung tahun ini.

Justeru, beliau berharap supaya orang ramai terlibat dalam mewaqafkan kitab suci itu dengan jumlah RM38 senaskhah dalam memastikan misi itu dicapai.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619