AGENDA

Google, TikTok lanjut pelaburan di Malaysia secara besar-besaran

16 Nov 2023, 6:22 AM
Google, TikTok lanjut pelaburan di Malaysia secara besar-besaran

SAN FRANCISCO, 15 NOV: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan pertemuan dengan beberapa syarikat gergasi teknologi seperti Google, Enovix Cooperation, Microsoft dan TikTok di sini.

“Saya telah mengadakan pertemuan dengan syarikat-syarikat besar yang telah memberi pengakuan akan melanjutkan pelaburan mereka di Malaysia secara besar-besaran,” katanya.

Anwar berkata, sistem politik yang stabil dan dasar yang jelas merupakan antara faktor penting yang menarik minat syarikat terbabit untuk melabur di Malaysia.

“Proses kelulusan juga akan memberi keyakinan kepada mereka. Kepantasan kehadiran pelabur baharu akan memberikan satu rekod baharu kepada Malaysia,” katanya kepada pemberita Malaysia selepas sesi pertemuan tersebut.

Google diwakili oleh Presiden dan Ketua Pegawai Pelaburan, Ketua Pegawai Kewangannya Ruth Porat, Enovix Cooperation diwakili Ketua Pegawai Operasinya Ajay Marathe, Microsoft Asia oleh Presidennya Ahmed Mazhari manakala TikTok oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya Shou Zi Chew.

Kawasan San Francisco Bay menjadi tumpuan banyak syarikat Fortune 500 utama untuk bertapak di sini yang mana kebanyakannya adalah firma inovatif dalam pembangunan Kecerdasan Buatan (AI), bioteknologi, perisian, teknologi bersih dan media sosial.

Perdana Menteri, yang juga merupakan Menteri Kewangan turut menerima kunjungan hormat daripada Rakan Pengasas, Pengerusi Eksekutif dan Pengarah TPG, Jim Coulter. TPG merupakan syarikat pengurusan aset alternatif utama global.

Anwar tiba di sini pada Isnin (13 Nov) bagi menghadiri Mesyuarat Pemimpin Ekonomi Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (AELM) dari 14-17 Nov, yang merupakan lawatan sulung beliau bagi mesyuarat Kerjasama Asia Pasifik (APEC) sebagai Perdana Menteri Malaysia.

Turut hadir semasa mesyuarat itu ialah Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil, Duta Malaysia ke Amerika Syarikat Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz serta para pegawai kanan kerajaan yang lain.

— BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619