AGENDA

5,000 bayi dilahirkan setiap tahun hidap masalah jantung berlubang, kongenital

22 Mei 2023, 8:54 AM
5,000 bayi dilahirkan setiap tahun hidap masalah jantung berlubang, kongenital

KUALA LUMPUR, 22 MEI: Penyakit jantung merupakan salah satu penyebab kematian di Malaysia dan dianggarkan setiap tahun 5,000 bayi yang dilahirkan mempunyai masalah jantung berlubang dan kongenital di negara ini.

Isteri Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata kebanyakan pesakit juga memerlukan rawatan pembedahan jantung dengan kepakaran yang kompleks dan melibatkan kos rawatan yang mahal.

Beliau berkata berdasarkan laporan The Direct Healthcare Cost of Noncommunicable Diseases in Malaysia, dianggarkan RM3.93 bilion daripada jumlah keseluruhan RM9.65 bilion kos penjagaan kesihatan pada 2017 diperuntukkan bagi perbelanjaan merawat pesakit jantung.

“Oleh itu, bagi mengelakkan penyakit ini orang ramai dinasihatkan berusaha mencegahnya terlebih dahulu dengan mengamalkan gaya hidup sihat kerana perbelanjaan bagi merawat penyakit ini tidaklah murah. Di IJN (Institut Jantung Negara) sendiri saya melihat telah memberi satu sumbangan yang besar dalam menangani penyakit jantung ini.

“Selain itu diharapkan lebih banyak yayasan yang terus memberi sokongan serta mana-mana pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dapat menyumbang bagi membantu pesakit-pesakit ini,” katanya ketika berucap melancarkan Program Myheart Siri Ke-5 dan Kempen Kesihatan Prihatin di IJN di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Institut Jantung Negara Foundation (IJNF) Toh Puan Dr Aishah Ong dan Pengerusi Yayasan MYPRIHATIN Prof Datuk Dr Halimaton Hamdan.

Pada majlis itu turut diadakan acara menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) antara Yayasan MYPRIHATIN dan IJNF bagi menjalinkan kerjasama mengendali serta menampung kos logistik pesakit jantung kanak-kanak yang menghadapi masalah kewangan.

Yayasan MYPRIHATIN turut memberi sumbangan dana berjumlah RM100,000 kepada IJNF dan menyerahkan 50 hamper kepada pesakit jantung kanak-kanak di Wad Pediatrik IJN. - BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619